Sunday, February 20, 2011

70,000 DVD, VCD dirampas

Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
2011/02/21


PEGAWAI Penguat kuasa KPDNKK, Nuri Ismadi, memeriksa sampul VCD yang dirampas dalam serbuan di dua rumah di Taman Setia Berjaya, Alor Setar, semalam.KPDNKK tahan 3 lelaki, sita mesin penyalin dalam serbuan

ALOR SETAR: Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 70,000 cakera video digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) bernilai kira-kira RM370,000 dalam serbuan di dua rumah di Taman Setia Berjaya, di sini, semalam. Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi itu dianggap kejayaan terbesar KPDNKK di negeri ini tahun ini, dan dua rumah yang jaraknya kira-kira 300 meter itu dikenal pasti dijadikan tempat memproses dan membungkus cakera optik berkenaan. Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menahan tiga lelaki berusia 20-an serta merampas 10 mesin penyalin DVD dan VCD serta satu unit pencetak.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Kedah, Suhaimi Mat Sari, berkata sindiket itu dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dan DVD serta VCD haram itu adalah untuk pasaran negeri ini.

Katanya, pihaknya percaya sindiket itu mampu menghasilkan antara 5,000 hingga 8,000 keping DVD dan VCD setiap hari dan ia bagi untuk menampung permintaan di negeri ini.

“Ketika serbuan dibuat tiga lelaki terbabit terpinga-pinga kerana baru tersedar daripada tidur serta enggan memberikan kerjasama kepada anggota KPDNKK untuk menjalankan tugas mereka.
“Berikutan itu, kami terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan dalam serbuan yang dilakukan serentak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 bagi setiap salinan atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Suhaimi berkata, pihak KPDNKK Kedah melakukan risikan terhadap kegiatan sindiket berkenaan sejak tiga bulan lalu

No comments:

Post a Comment