Sunday, February 13, 2011

Pengawal buntu dokumen dipalsukan beli kereta

2011/02/14
KUALA TERENGGANU: Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila dokumen peribadinya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membeli sebuah kenderaan mewah menggunakan identitinya.

Shamsul Bahrin Bidin, 36, dari Kampung Surau Haji Daud Atas Tol, di sini, berkata dia menyedari dokumen peribadinya diguna pihak lain sebaik ingin menyambung cukai jalan keretanya, Perodua Kancil. Kejadian disedari awal Ogos tahun lalu, apabila kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memberitahu bahawa sebuah kereta jenis Kia Optima didaftarkan atas namanya ada lima rekod saman. “Mana mungkin saya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM730 sebulan mampu membeli dan memandu kereta import berharga mahal seperti itu,” katanya.

Shamsul berkata, menyedari dokumen peribadi miliknya dipalsu dan digunakan pihak lain, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Chabang Tiga dan meneruskan hasrat menyambung cukai jalan keretanya akhir Ogos lalu.

“Apa yang mengejutkan, jawapan saya terima daripada kakitangan JPJ tetap sama iaitu kereta Kia Optima yang dipalsukan dokumennya dan didaftarkan atas nama saya mempunyai 17 saman pula,” katanya.

Dia berkata, tertekan dengan kejadian itu, dia sekali lagi ke Balai Polis Chabang Tiga membuat laporan mengenai pemalsuan dokumen sehingga dia terpaksa berdepan pelbagai masalah.
Katanya, akibat masalah itu, dia juga tidak dapat membuat pinjaman peribadi kerana pihak bank sudah menyenaraihitam maklumat dirinya.

“Pihak bank memberitahu kereta Kia Optima yang didaftarkan atas nama saya itu mempunyai jumlah hutang RM120,000 dan saya tidak boleh membuat sebarang pinjaman lain.

“Kini saya buntu memikirkan masalah yang tiada kesudahan ini dan lebih membimbangkan jumlah hutang yang besar itu perlu saya lunaskan sedangkan kereta berkenaan bukan milik saya dan tidak tahu di mana ia berada,” katanya.

No comments:

Post a Comment