Tuesday, February 15, 2011

Logo SC diguna tanpa kebenaran

Logo SC diguna tanpa kebenaran


2011/02/16
SURUHANJAYA Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan mengenai tindakan pihak tertentu menggunakan logo dan namanya tanpa kebenaran bagi menyokong pengesahan sesuatu laman web promosi, produk pelaburan ataupun program.

Badan pengawal selia pasaran modal tempatan itu dalam kenyataannya berkata, ia menyedari yang www.kuasaforex.com telah menggunakan identiti korporat suruhanjaya itu untuk laman webnya bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan berkaitan dengan urus niaga mata wang asing. “Kami tiada kaitan langsung dengan laman web ini dan promoternya dan tidak pernah mengesahkan aktivitinya,” kata SC dalam kenyataan itu. SC berkata, ia telah memasukkan laman web itu dalam’senarai ‘Investor Alert" dan akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“Orang ramai diingatkan yang SC tidak membenarkan sebarang promosi laman web atau produk dan program pelaburan,” katanya.

SC berkata, senarai syarikat dan individu yang telah diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan, termasuk menyediakan nasihat pelaburan boleh diperoleh di laman webnya di www.sc.com.my.

Ia turut menjelaskan bahawa aktiviti berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang berada di bawah skop Bank Negara Malaysia dan memerlukan kelulusannya.
Katanya, untuk maklumat lanjut mengenai urus niaga mata wang, orang ramai dinasihati menghubungi Bank Negara Malaysia di 1-300-88-5465 atau melalui emel di bnmtelelink@bnm.gov.my.

“Sesiapa yang ada keraguan berhubung mana-mana laman web, emel atau maklumat di internet berkaitan nasihat pelaburan dan perkhidmatan mengenai sekuriti, boleh hubungi SC di 603-62048999 atau emel di aduan@seccom.com.my,” katanya.

No comments:

Post a Comment