Monday, February 14, 2011

Bekas ADO kena penjara 6 tahun

2011/02/15


Mohd Jamil Mohd NoorBUTTERWORTH: Bekas Penolong Pegawai Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Mohd Jamil Mohd Noor, dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana cuba memperoleh rasuah lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin, membuat keputusan itu selepas meneliti fakta kes dan mendengar hujah pihak pendakwa raya serta peguam bela. Sebelum ini, prosiding untuk menjatuhkan hukuman ke atas Mohd Jamil, 58, ditangguhkan tiga kali berikutan tertuduh menjalani rawatan penyakit jantung di Hospital Pulau Pinang. Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara yang sepatutnya bermula semalam sementara menunggu rayuan.

Bagaimanapun, tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara empat bulan kerana gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa cuba meminta suapan sebanyak RM60,000 daripada Arizal Mohd Arshad untuk menaikkan nilai pampasan pengambilan balik sebahagian tanah Lot 3482 GM2058 Mukim 5, SPU bagi meluaskan kawasan meletak kenderaan di pasar awam Kepala Batas.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 11A Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika disabitkan kesalahan penjara minimum 14 hari serta maksimum 20 tahun atau denda RM300,000 atau lima kali nilai suapan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Janariah Abdul Mutalib, manakala Mohd Jamil diwakili Rosli Ismail.

Dalam prosiding semalam, Janariah meminta hukuman yang setimpal dikenakan memandangkan tertuduh adalah bekas pegawai kerajaan yang tahu hukumannya jika melakukan kesalahan rasuah.

Katanya, mahkamah juga perlu beri pengajaran kepada orang awam bahawa jenayah rasuah adalah kesalahan berat dan kerajaan serius menangani masalah itu dengan menjadikannya sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Rosli pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap Mohd Jamil kerana jasa anak guamnya berkhidmat dengan kerajaan perlu dipertimbangkan.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai sebarang pendapatan tetap kerana sudah lama tidak bekerja.

No comments:

Post a Comment