Thursday, February 17, 2011

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000
MELAKA 17 Feb. - Sepasang suami isteri yang kerugian kira-kira RM14,000 kerana ditipu doktor palsu, kini boleh menarik nafas lega apabila wang tersebut dikembalikan kepada mereka.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat Vibracare ASL membayar RM14,000 iaitu sama jumlah yang dituntut oleh Sarip Sayed, 61, dan isterinya, Salihah Biran, 54, kepada syarikat tersebut dua tahun lalu.

Presidennya, D. Pretam Singh dalam penghakimannya memberitahu, hasil maklumat membuktikan pasangan suami isteri itu telah ditipu oleh syarikat terbabit yang menawarkan pelbagai jenis ubat namun gagal menyembuhkan penyakit mereka.

"Oleh itu, TTPM mengarahkan pihak penentang supaya membayar sebanyak RM14,000 kepada penuntut bermula tarikh penghakiman yang dibuat hari ini.

"Apa yang saya boleh katakan, penuntut sendiri perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan apatah lagi ia melibatkan wang," katanya pada sidang TTPM di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sementara itu Salihah ketika ditemui memberitahu, kali pertama dia dan suami bertemu dengan 'doktor' terbabit ialah pada 14 Oktober 2009 di rumah lelaki itu di Taman Merak, Bukit Katil di sini.

"Apabila sampai di rumahnya, lelaki itu yang memakai stetoskop di leher memperkenalkan dirinya sebagai 'doktor' dan dia kemudian mengambil gambar mata saya dan memaparkannya di skrin besar sebelum menjelaskan saya turut mempunyai penyakit buah pinggang yang perlu dirawat segera sebelum melarat," katanya.

Kata Salihah lagi, sepanjang sesi penerangan itu, lelaki tersebut tidak berhenti-henti menyebut nama Allah dan berjanji akan merawat penyakit mereka sehingga sembuh tetapi perlu menggunakan ubatan herba yang dibekalkan pada harga RM14,000.

Kata Salihah, lelaki itu juga bijak memujuk dia dan suami supaya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji dengan mengatakan tidak guna menunaikan haji sekiranya badan tidak sihat dan selalu sakit-sakit.

Tambahnya, selepas sebulan menggunakan 'ubat' yang diberikan oleh lelaki terbabit, penyakit yang dihadapi semakin teruk dan terkejut apabila 'doktor' terbabit mengarahkannya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Menurut Salihah, kata-kata lelaki tersebut berbeza dengan jaminan yang pernah dibuatnya sebelum ini yang berjanji akan merawat mereka sekeluarga sehingga sembuh.

"Setelah berasa tertipu, saya dan suami kemudian memfailkan tuntutan di TTPM pada 8 Februari 2009 dan membuat laporan polis pada 8 Januari 2010," katanya.

No comments:

Post a Comment