Thursday, February 10, 2011

Wartawan Utusan peroleh ganti rugi RM26,400

KUALA LUMPUR 10 Feb. 2011 -- Seorang wartawan Utusan Malaysia menerima ganti rugi sebanyak RM26,400 selepas Mahkamah Perusahaan di sini membenarkan tuntutan yang dikemukakan ke atas bekas majikannya kerana diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah, lima tahun lalu.

Pengerusinya, Hamdan Indah membenarkan tuntutan Wan Noor Hayati Wan Alias, 30, selepas selesai mendengar keterangannya pada prosiding yang dibuat secara ex-parte (sebelah pihak) pada 28 Januari lalu.

Tiada wakil hadir mahupun pernyataan pembelaan difailkan oleh syarikat pelaburan, Dalamasa Sdn. Bhd., (Dalamasa) walaupun notis perbicaraan telah diterima oleh wakil syarikat terbabit.

Menurut keputusan mahkamah yang dikeluarkan semalam, Wan Noor Norhayati selaku pemohon memfailkan tuntutan tersebut selepas mendakwa dia dibuang kerja secara salah dan turut dinafikan peluang untuk membela diri oleh Dalamasa pada 11 Julai 2007.

Dia telah bekerja di syarikat terbabit sejak 1 Januari 2007 dengan jawatan sebagai Eksekutif Perhubungan Awam dan menerima gaji sebanyak RM1,700 sebulan sebelum dia dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif dengan gaji baru RM2,200 sebulan.

Alasan pemberhentian yang diberikan oleh syarikat pada masa itu ialah pemohon telah melanggar terma 'Kerahsiaan' dalam surat pelantikan jawatannya.

Mahkamah bagaimanapun, mempercayai keterangan pemohon bahawa dia sebenarnya telah diberhentikan kerana Wan Noor Hayati mempunyai pengetahuan tentang penyelewengan kewangan membabitkan pengarah syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment