Monday, December 27, 2010

Suami isteri pecah amanah dipenjara, sebat

KUALA LUMPUR 27 Dis. 2010 - Sepasang suami isteri, masing-masing dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah RM424,389.53, lebih 12 tahun lalu.

Hakim Azwarinda Affandi menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Hew Kun Loon, 38, dan isteri, Chong Siu Ling, 43, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu.

Hakim tersebut turut menetapkan hukuman sebatan tiga kali ke atas Kun Loon.

Bagaimanapun, Azwarinda membenarkan permohonan peguam bela Peter Siew yang mewakili kedua-dua tertuduh untuk menggantung pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Wang jaminan terhadap setiap tertuduh turut dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM25,000.

Siu Ling didakwa melakukan pecah amanah terhadap 18 keping cek syarikat TP Indah Sdn. Bhd. semasa dia memegang jawatan setiausaha di syarikat terbabit dengan memindahkan wang kepunyaan syarikat itu ke dalam akaun milik suaminya.

Wang RM424,389.53 itu dipindahkan ke dalam dua buah akaun bank iaitu Bank Oriental (kini dikenali sebagai EON Bank) di Taman Cheras Indah, di sini dan Public Bank di Bukit Beruntung, Rawang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 10 September 1998 dan 8 Jun 2000 di premis pejabat tersebut di nombor 21A, Tingkat 1, Jalan Emas, Taman Emas, Batu 9, Cheras di sini.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.

Sementara itu, Kun Loon yang merupakan seorang jurujual pula didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan isterinya dalam melakukan kesalahan terbabit.

Dia didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 10 kanun tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan.

Pasangan yang menetap di Rawang itu ditangkap pada 7 Jun 2001, iaitu dua hari selepas pemilik syarikat, Ng Chai Fatt membuat laporan polis.

Mereka didakwa di mahkamah buat pertama kali pada 2 Ogos 2002.

Terdahulu, Siew memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan pasangan tersebut mempunyai tiga anak berusia antara empat dan 11 tahun yang memerlukan penjagaan rapi.

Selain itu, katanya, kedua-dua tertuduh tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun Pegawai Pendakwa, Asisten Supritendan Dr. A. Vasu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal kerana kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh-tertuduh telah menyebabkan pemilik syarikat mengalami kerugian.

''Walaupun pihak pendakwaan bersimpati dengan tertuduh tetapi undang-undang harus dipelihara,'' katanya.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, sebanyak 10 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

No comments:

Post a Comment