Tuesday, December 28, 2010

Janji gelaran 'datuk', pinjaman

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusann9@utusan.com.my

SEREMBAN 28 Dis. - Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan dua kes penipuan membabitkan pemberian anugerah gelaran 'Datuk' serta urusan pinjaman bank bernilai belasan ribu ringgit di sekitar negeri ini, tahun lalu.

Kerjasama kedua-duanya iaitu Jaspal Singh, 36, dan Rohaizad Abu Zarin, 43, amat diperlukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri.

Jurucakap polis berkata, dalam laporan kes pertama, mangsa mendakwa ditawarkan suspek untuk memperoleh anugerah 'Datuk' dengan membayar wang berjumlah RM20,000.

"Bagaimanapun, mangsa dikehendaki membayar deposit awal RM5,000 ke dalam akaun bank suspek sebagai kos tempahan meja pada majlis santapan diraja di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara.

"Namun, mangsa yang keberatan dan sangsi dengan tawaran berkenaan menyedari ia adalah penipuan sekali gus tidak membuat sebarang bayaran terhadap suspek," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, polis meminta kerjasama Jaspal supaya segera tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Individu terbabit yang juga seorang peniaga memiliki alamat terakhirnya di No.22, Jalan Teladan 25/22, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor," katanya.

Sementara itu, bagi kes kedua pula, jurucakap berkenaan memberitahu, mangsa mendakwa diminta membuat sejumlah pembayaran bagi tujuan mendapatkan kelulusan pinjaman melalui sebuah bank.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran berjumlah RM15,000 sebagai wang pendahuluan secara ansuran kepada suspek.

"Selepas pembayaran itu selesai dibuat, suspek bagaimanapun memberi pelbagai alasan mengenai kelewatan pinjaman berkenaan.

"Apabila merujuk perkara itu dengan pihak bank, mangsa dimaklumkan bahawa tiada sebarang permohonan pinjaman dilakukan atas nama mangsa," jelasnya.

Katanya, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Berikutan itu, polis sedang mengesan Rohaizad Abu Zarin, 43, yang bekerja sebagai ejen pinjaman dan berasal dari Senawang bagi membantu siasatan," ujarnya.

Menurut jurucakap itu, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mereka diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Haffiz Rosni di talian 012-4995823 untuk tindakan lanjut.

No comments:

Post a Comment