Wednesday, October 13, 2010

Utara: Pengkhianat petrol subsidi

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2010/10/13
Sindiket seludup bina stor penyimpanan minyak di Kampung Remia Manis

DURIAN BURUNG: Kawalan ketat di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar di Perlis mendorong sindiket penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi memindahkan operasinya ke sini sejak beberapa bulan lalu dengan mengaut keuntungan mudah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Tinjauan mendapati sindiket penyeludupan bahan api bersubsidi yang dipercayai didalangi warga tempatan itu, dikesan bergiat aktif apabila berani membina stor penyimpanan minyak haram kira-kira 500 meter dari balai polis di Kampung Remia Manis, di sini.
Sindiket itu dipercayai memindahkan operasinya ke sini disebabkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang beroperasi sejak hampir setahun lalu itu lengang kerana kurang digunakan penduduk kedua-dua negara.

Stor terbabit terletak kira-kira empat kilometer (km) dari KIK berkenaan.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan sindiket itu didapati menghentikan operasi sementara kerana disyaki dapat menghidu kehadiran petugas media, tetapi beberapa kenderaan pikap dan kereta dilihat berada dalam stor haram berkenaan dipercayai sedang memindahkan minyak.

Malah, penduduk tempatan mendakwa anggota sindiket itu beroperasi secara terang-terangan apabila kenderaan bernombor pendaftaran tempatan digunakan bebas membeli petrol dan diesel di tiga stesen minyak mini di Kampung Padang Cenderai dan Kampung Pisang yang terletak kira-kira 15 km dari stor berkenaan.
Penduduk mendakwa, selepas beberapa kali membuat pembelian petrol atau diesel berkenaan, anggota sindiket terbabit akan menghantar bahan api ke stor haram itu, sebelum diseludup ke Thailand melalui pekan kecil di sempadan, iaitu Nattawi dan Ban Prakop sama ada menggunakan kenderaan Thailand atau tempatan.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlan mendakwa, dia mendapat tahu sindiket itu didalangi seorang penduduk tempatan yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa yang berkawal di pintu masuk sempadan.

“Kami sudah melaporkan masalah ini kepada pihak berkuasa, tetapi ia seumpama mencurah air ke daun keladi kerana penyeludupan tetap berlaku seperti biasa.

“Kami juga mengesyaki pengusaha stesen minyak mini terbabit bersubahat dengan sindiket berkenaan dan mereka menjual antara 3,000 dan 4,000 liter bahan api itu kepada sindiket itu setiap hari,” katanya yang enggan gambarnya dirakamkan atas sebab keselamatan.

Harga runcit petrol dan diesel di negara ini masing-masing RM1.85 dan RM1.65 seliter, berbanding RM2.70 dan RM2.50 seliter di Thailand, menyebabkan sindiket penyeludupan minyak melakukan pelbagai taktik untuk menyeludup.

Ramlan berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kenderaan yang digunakan anggota sindiket itu turut mempunyai tangki yang diubahsuai.

“Sindiket terbabit dikatakan mengupah penduduk berhampiran untuk membeli petrol dan diesel di tiga stesen minyak mini itu dengan bayaran antara RM50 dan RM100 sehari, manakala pemandu warga Thailand yang melakukan tugas menyeludup bahan api itu diupah RM30,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah, Mohd Salleh Maamor ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat kegiatan itu

No comments:

Post a Comment