Tuesday, October 5, 2010

15 tahun kaut duit sogok

Oleh Norfatimah Ahmad
tim@bharian.com.my
2010/10/06
Sindiket tawar pegawai imigresen 'gaji' lumayan RM3,000 sehari

KUALA LUMPUR: Sindiket pemalsuan dokumen untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang asing tanpa izin dipercayai beroperasi lebih 15 tahun di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang dengan menawarkan habuan antara RM500 hingga RM3,000 sehari kepada setiap anggota dan pegawai imigresen yang bersubahat. Sindiket dikatakan masih mampu beroperasi dan mengaut wang daripada pendatang tanpa izin walaupun anggota dan pegawai imigresen bertukar ganti kerana mereka ditawarkan ‘gaji’ lumayan oleh sindiket berkenaan. Menurut sumber, lebih tiga sindiket beroperasi di pintu keluar masuk negara itu menggunakan modus operandi hampir sama untuk ‘memikat’ kakitangan imigresen supaya bekerjasama dengan mereka dengan upah bulanan minimum RM30,000 sebulan.

“Oleh itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila kakitangan imigresen yang baru memulakan tugas di jeti berkenaan pada 2009 berjaya dipikat dan menjadi sebahagian anggota sindiket berkenaan. Semuanya kerana habuan lumayan,” kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, jumlah yang diperoleh setiap kakitangan imigresen berbeza setiap hari kerana ia dikira mengikut bilangan pendatang asing tanpa izin yang dibawa keluar atau masuk menerusi jeti berkenaan.

Setakat ini, tujuh kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawai ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.
Daripada jumlah itu, enam anggota imigresen yang bertugas di Jeti Pelabuhan Pulau Ketam, termasuk seorang ditahan dan SPRM menemui wang tunai RM30,000 di rumahnya dan dua lagi pegawai di Jeti Port Dickson yang semuanya disyaki terbabit rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Selain kakitangan imigresen, lapan orang awam yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’ ditahan.

Berita Harian pada 27 Ogos lalu mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan, menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin Indonesia.

No comments:

Post a Comment