Monday, October 4, 2010

Tiga koperasi, 12 pegawai babit skim cepat kaya didakwa

2010/10/05
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mendakwa tiga koperasi dan 12 pegawainya di mahkamah dalam jangka masa terdekat kerana terbabit dalam aktiviti pelaburan bercirikan skim cepat kaya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SKM sejak 2008 sudah mengenal pasti 14 koperasi terbabit dalam aktiviti seumpama itu termasuk Koperasi Dinamik Malaysia (KOPEDIK) yang didakwa di mahkamah pada 28 Januari lalu. Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan semua koperasi itu termasuk menjalankan aktiviti pelaburan terhadap perniagaan yang tidak wujud seperti industri cacing, lintah, rumpai laut dan emas. “Mereka kutip duit pelanggan supaya melabur dalam perniagaan dijalankan tetapi ia tidak wujud. Contohnya, bagi perniagaan rumpai laut, pelanggan ditunjukkan kawasan laut kononnya milik mereka sedangkan ia tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran SKM di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, tindakan menggantung operasi koperasi akan diambil sebaik saja SKM menerima laporan penyelewengan atau penipuan yang dilakukan, sebelum tindakan membatal dan mendakwa ahli lembaga pengarah diambil.

“Jika siasatan mendapati koperasi berkenaan bersih daripada penyelewengan, penggantungan itu akan ditarik semula dan mereka bebas menjalankan aktiviti seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SKM sudah mengambil alih 15 koperasi untuk memulihkan pengurusan dan aktiviti mereka yang berdepan pelbagai masalah.
Bagaimanapun, katanya, semua koperasi berkenaan tidak terbabit dalam sebarang kesalahan, sebaliknya menghadapi masalah pengurusan dan kewangan

No comments:

Post a Comment