Monday, October 18, 2010

Bekas ejen pelancongan menang saman fitnah RM5 juta

KUALA LUMPUR 18 Okt. 2010 - Seorang bekas ejen syarikat pelancongan berjaya dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi RM5 juta yang dikemukakannya ke atas dua pemilik sebuah syarikat pelancongan yang menguruskan haji dan umrah.

Tuntutan undang-undang itu berpihak kepada plaintif, Firdaus Abd. Ghani setelah Mahkamah Tinggi di sini pada minggu lalu membenarkan permohonannya bagi mendapatkan penghakiman ingkar terhadap pihak defendan terbabit.

Plaintif mengemukakan permohonan itu selepas pihak defendan gagal memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman yang difailkan melalui firma guaman, Tetuan Yusma Azlin & Co. pada 14 Julai lalu.

Penolong Kanan Pendaftar, Fa'erah Nurul Ainni Izany turut memerintahkan faedah lapan peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut sehingga tamat penyelesaiannya.

Dalam writ saman fitnah itu, Firdaus yang kini mengendalikan syarikat pelancongannya sendiri menamakan Ahmad Khairi Mohd. Khalil, Zioui Fatimah Al-Aidi dan syarikat pelancongan Bahrulmazi Travel And Tours Sdn. Bhd. (Bahrulmazi) sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa, defendan pertama dan kedua telah membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud Firdaus telah menjual tiket haji dan umrah dengan harga yang mahal sehingga menyebabkan Bahrulmazi terpaksa menanggung kerugian.

Akibat fitnah tersebut, Firdaus mendakwa, nama baik, imej dan kredibilitinya tercemar sehingga mengakibatkan beliau mengalami tekanan, gangguan emosi dan mental.

Plaintif juga mendakwa terpaksa menanggung persepsi negatif daripada masyarakat sekeliling.

Oleh yang demikian, Firdaus menuntut ganti rugi RM5 juta, faedah lapan peratus ke atas jumlah tersebut, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif turut memohon defendan pertama dan kedua membuat permohonan maaf bertulis secara terbuka dan perintah agar Ahmad Khairi dan Zioui Fatimah berhenti menyebarkan fitnah mengenai dirinya.

No comments:

Post a Comment