Wednesday, October 13, 2010

Sabah & Sarawak: Subahat tipu subsidi jual padi

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2010/10/13
KOTA KINABALU: Segelintir pesawah di Sabah didakwa bersubahat dengan beberapa pengilang dalam melakukan penipuan untuk mendapatkan subsidi jualan padi tanpa menjual hasil pertanian itu.

Aktivis sosial dan kepenggunaan negeri itu, Datuk Patrick Sindu, mendakwa petani terbabit hanya membawa padi ke kilang untuk ditimbang bagi mendapatkan subsidi, tetapi padi itu kemudiannya dipercayai dibawa pulang untuk keperluan harian masing-masing. Katanya, timbangan itu diperakui dalam buku rekod jualan padi dan pemberian subsidi kononnya pesawah terbabit menjual padi di kilang berkenaan.
"Tiga pihak ini dipercayai mengagihkan pendapatan itu sesama mereka dan kegiatan berkenaan dikatakan sudah lama berlaku, malah pernah dilaporkan ketika saya menjadi Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH)," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Patrick mendakwa, kegiatan pihak tidak amanah itu dengan sendirinya menyekat pengeluaran beras hingga Sabah bergantung 70 peratus kepada beras import.

Sehubungan itu, beliau meminta Bahagian Kawalselia Padi dan Beras cawangan Sabah memantau operasi pembelian dan pemberian subsidi padi dengan lebih teliti bagi menyekat kegiatan yang merugikan industri pertanian Sabah itu.

"Pihak terbabit perlu menyiasat dan bertindak terhadap golongan yang dengan jelas membantutkan usaha kerajaan negeri memajukan sektor penanaman padi bagi mengurangkan pengimportan beras," katanya.
Patrick berkata, pendedahan Pengurus Besar Kanan Sektor Perniagaan Malaysia Timur BERNAS, Azhar Abdullah, bahawa Sabah bergantung kepada 70 peratus bekalan beras import antaranya dari Vietnam, Thailand dan Pakistan perlu diberi perhatian termasuk penilaian semula sistem penanaman padi dan kesesuaian tanah sawah di negeri ini.

"Kita yakin jika sawah diusahakan secara sistematik dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi pertanian moden, hasil pengeluaran padi dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, jurucakap Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Sabah ketika dihubungi, mengakui turut mengesan kegiatan segelintir pesawah di negeri itu yang bersubahat dengan sebilangan kecil pengilang untuk melakukan penipuan bagi mendapatkan subsidi jualan padi tanpa menjual hasil pertanian itu.

"Kita siasat semua aduan dengan rapi dan mengambil tindakan sewajarnya jika mendapati wujud kebenaran terhadap dakwaan itu," katanya

No comments:

Post a Comment