Monday, October 18, 2010

Pengarah syarikat hadapi tuduhan gubah wang haram RM43.7j

18/10/2010 6:15pm


SHAH ALAM 18 Okt. 2010- Seorang pengarah syarikat yang sebelum ini menghadapi 412 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM100.2 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang dan Shah Alam atas 61 lagi pertuduhan melibatkan diri dalam penggubahan wang haram berjumlah RM43.7 juta.


Lim Long Yew, 39, dari Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.


Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, tertuduh didakwa atas 32 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM5.2 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun miliknya ke dalam satu lagi akaun kepunyaannya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad, No. 3,4,5, Jalan CKC 1, Batang Kali dekat sini, antara 15 Dis 2008 dan 19 Okt 2009.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman dari Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara memohon agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM300,000 serta penjamin di kalangan saudara mara tertuduh sekiranya mahkamah cenderung untuk membenarkan ikat jamin.

Mohd. Farez juga memohon agar semua pertuduhan itu dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan semua akaun miliknya telah dibekukan.


Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dibenarkan jamin RM300,000 serta seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 17 Disember ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. - Bernama

No comments:

Post a Comment