Thursday, October 28, 2010

Eksekutif LHDN dipenjara, didenda RM30,000 kerana rasuah

2010/10/28
KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai eksekutif (Penaksiran) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari cawangan Kuala Lumpur Bandar dipenjara dua tahun dan didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah, lima tahun lalu.

Hakim Rosbiahanin Ariffin, berkata sekiranya tertuduh, Miftahhudin Abdullah, 40, gagal membayar denda itu, dia akan dikenakan penjara 12 bulan dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini. Rosbiahanin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan. Miftahhudin didakwa bersetuju untuk terima wang suapan RM6,000 daripada Maimunah Suhor sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan bertarikh 4 Mac 2005 di Mentari Channel Food Court, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman di sini pada 5.05 petang, 4 Mac 2005.

Dia yang kini digantung tugas, didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pada 21 September lalu, mahkamah melepas dan membebaskan Miftahhudin daripada satu tuduhan meminta suapan RM6,000 bagi dirinya daripada Maimunah melalui Ainon Samat sebagai dorongan untuk mengeluarkan Surat Pengesahan Pendapatan kepada Maimunah di LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Jalan Kampung Attap di sini pada 11.26 pagi, 1 Mac 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 10(a)(bb) akta yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadzillah Mohd Ossman.

No comments:

Post a Comment