Thursday, October 7, 2010

UPP rampas 560 karton rokok

tara:
Oleh Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bharian.com.my
2010/10/08
Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket penyeludupan ditahan di Alor Setar

KUALA KEDAH: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Kedah menahan seorang lelaki yang dipercayai menyeludup masuk 560 karton rokok kretek dari Indonesia bernilai RM9,408, petang kelmarin. Komander UPP Kedah, Mohd Jasri Othman, berkata ia hasil serbuan diketuai Komander UPP Kuala Kedah, Wan Mazlan Endut bersama dua anggota selepas mengekori sebuah kereta dinaiki suspek berusia 50-an di sebuah kawasan perumahan di Alor Setar, kira-kira jam 2.30 petang. Katanya, sebaik suspek membuka pintu pagar rumahnya, anggota UPP terus menahan lelaki terbabit sebelum mengarahkan dia membuka keretanya.

“Hasil siasatan menemui bungkusan plastik hitam di dalam but dan bahagian dalam kereta terbabit yang mengandungi rokok. Siasatan lanjut mendapati, rokok itu dipercayai tidak dibayar cukai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram,” katanya di sini.

Mohd Jasri berkata, lelaki itu dipercayai ahli sindiket penyeludupan rokok yang membawa masuk barangan terbabit melalui feri pelancong dari Indonesia melalui perairan Johor, Perak dan Melaka.

Katanya, modus operandi lelaki itu ialah dengan mengambil bekalan daripada sindiket berkenaan di sekitar negeri ini sebelum dibawa balik ke rumahnya dan mengedarkan barangan itu pada waktu malam untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Beliau berkata, suspek dikatakan menyimpan barangan di rumahnya sementara waktu sebelum mengedarnya kepada peniaga runcit dan pasaran gelap.

“Kita mengesyaki lelaki itu sudah terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok sejak lima bulan lalu berikutan harga pasaran rokok yang semakin meningkat. Ini adalah kes tangkapan pertama sejak harga rokok naik berkuatkuasa Isnin lalu,” katanya.

Mohd Jasri berkata, sindiket itu dipercayai membeli satu karton rokok pada harga RM25 dan dipercayai menjualnya pada harga lebih tinggi.

Difahamkan, harga pasaran runcit boleh mencecah RM50 bagi satu karton dan suspek mampu memperoleh keuntungan sehingga RM28,000, jika berjaya menyeludup rokok berkenaan.

“Cukai kastam bagi semua jumlah rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM32,081.28. Suspek dan kereta terbabit serta semua barangan rampasan itu kemudian diserahkan kepada KDRM untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang bagi kesalahan pertama

No comments:

Post a Comment