Tuesday, October 5, 2010

Bekas pengarah syarikat dipenjara, denda RM2 juta

2010/10/05
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembinaan, Pancaran Ikrab Berhad dipenjara dua hari dan didenda RM2 juta oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menipu pembelian sekuriti saham membabitkan RM15.5 juta.

Hakim S. M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mengambil kira pengakuan Ngu Tieng Ung, 43, yang menukar pengakuan kepada bersalah hari ini. Bagaimanapun, Komathy memerintahkan Ngu menjalani hukuman penjara secara serentak bermula hari ini dan beliau juga membenarkan hukuman denda itu dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula 5 November. Ngu yang kelihatan sugul, menangis sejurus Komathy menyampaikan keputusan itu sehingga beliau terpaksa berhenti seketika dan bertanya: "Adakah awak ok...adakah awak gembira atau sedih..?

Peguam Ng Aik Guan yang kemudian menenangkan anak guamnya itu berkata: "Beliau sedikit emosi".

Komathy juga mengarahkan jika Ngu gagal membayar sebelum atau pada tarikh yang ditetapkan Ngu boleh dipenjara 30 hari.

Mengikut pertuduhan pertama, Ngu dipenjara sehari dan didenda RM1 juta selepas mengaku bersalah menipu dengan memindahkan RM11 juta dari akaun bank syarikat Pancaran Ikrab di Malayan Banking Berhad, ke akaun bank Amsteel Securities (M) Sdn Bhd di Hong Leong Bank.
Perpindahan wang itu bertujuan membiayai pembelian tiga juta unit saham Pancaran Ikrab melalui akaun Task Avenue Sdn Bhd, yang mana Ngu tahu wang tersebut bukan dimaksudkan untuk digunakan bagi tujuan pembelian saham itu.

Ngu didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 Oktober dan 13 Oktober 1997, di Pancaran Ikrab Berhad di Tingkat 27, UBN Tower, 10 Jalan P Ramlee di sini.

Ngu juga dikenakan hukuman yang sama bagi pertuduhan kedua selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama, melibatkan 1.25 juta unit saham syarikat itu, bernilai RM4.5 juta di tempat yang sama, antara 7 Oktober dan 20 Oktober 1997.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 87A (b) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (Akta 280) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 91 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan.

No comments:

Post a Comment