Thursday, October 7, 2010

Pusat Rawatan Keraton hadapi tuduhan

JOHOR BAHRU 7 Okt. 2010 - Pemilik Pusat Rawatan Keraton yang melakukan rawatan 'pembedahan' secara tradisional atau batin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menjalankan operasi pusat jagaan kesihatan swasta tanpa lesen, Jun lalu.

Johari Mansor, 52, dan Rusnani Rahaman, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Norazlan Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjalankan operasi pusat jagaan ambulatori swasta tanpa lesen mengikut perenggan 3(c) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 34, Jalan Padi Emas 32, Bandar Baru Uda di sini kira-kira pukul 6.30 petang, 9 Jun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Subseksyen 5(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 5(1)(b)(i) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pusat rawatan berkenaan boleh didenda maksimum RM500,000 dan pemiliknya boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Norazlan menetapkan 29 November ini untuk perbicaraan kes tersebut.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Suriati Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zamri Idrus.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pusat rawatan berkenaan diserbu pihak kementerian pada 6 Jun lalu kerana didakwa melakukan rawatan 'pembedahan' secara tradisional atau batin.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dijalankan Unit Kawalan Amalan Perubatan Swasta (UKAPS) Johor dan Selangor, pihaknya merampas beberapa perkakas dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam pembedahan batin tersebut.

Mohd. Ismail mengingatkan semua pusat rawatan swasta yang menawarkan rawatan perubatan supaya mendapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan sebelum memulakan operasi seperti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut

No comments:

Post a Comment