Tuesday, October 19, 2010

Rakyat Malaysia kena tipu RM1j

2010/10/20
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurang tujuh rakyat Malaysia kerugian lebih RM1 juta sepanjang tahun ini selepas menjadi mangsa kegiatan penipuan berhubung tawaran harta pusaka orang kenamaan dan golongan kaya dari luar negara.

Jika dikira kerugian keseluruhan sejak beberapa tahun lalu, jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit berdasarkan lebih 70 laporan diterima Kastam Diraja Malaysia (KDRM) setakat ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang mendedahkan kegiatan sindiket itu berkata, mereka yang menjadi mangsa kebanyakannya golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
“Modus operandi digunakan sindiket diketuai seorang wanita adalah dengan menjalin hubungan rapat bersama rakyat tempatan sebelum menawarkan harta ratusan juta ringgit yang dimiliki keluarganya di luar negara dan mahu mewasiatkan kepada rakyat tempatan,” katanya.

“Sindiket itu kemudian berjanji menghantar bungkusan melalui kargo diisi wang tunai jutaan ringgit kepada mangsa menggunakan perkhidmatan kurier melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dengan syarat mangsa membayar RM30,000 hingga RM70,000 untuk urusan memproses wang itu,” katanya.

Murugiah berkata, sebaik mangsa memasukkan jumlah wang diminta, anggota sindiket akan menghubunginya dengan menyamar sebagai kakitangan syarikat kurier dan memintanya mengambil bungkusan dikirim di Kompleks Kargo KLIA atau pejabat pos.

“Mangsa hanya sedar ditipu apabila menuntut kargonya kerana tiada bungkusan seperti dijanjikan. Apabila mangsa menghubungi semula sindiket memaklumkan mengenainya, anggota sindiket akan mendakwa ia kemungkinan dicuri pegawai KDRM atau kakitangan kurier,” katanya.
Beliau berkata, ada mangsa yang datang berjumpanya mahu membunuh diri kerana gagal menyelesaikan hutang yang dipinjam dengan Ah Long untuk membayar wang pendahuluan dengan harapan menjadi jutawan.

“Perbincangan sudah diadakan dengan polis, KDRM, pengurusan KLIA dan syarikat kurier mengenai kegiatan sindiket itu. Polis akan bekerjasama dengan Interpol dalam usaha menjejaki anggota sindiket terbabit.

“Saya juga berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sindiket yang menjanjikan kekayaan, dan jika ada buat laporan polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment