Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 Okt. - Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerbu 30 premis dan merampas produk penjagaan mata bernilai hampir RM3 juta keluaran sebuah syarikat terkenal di negara ini sejak Ogos lalu yang dikesan menipu pelanggan.
Produk penjagaan mata dalam bentuk toner dan penutup mata itu memang terkenal kerana kerap diiklankan dalam media cetak dan elektronik oleh syarikat pengeluarnya.
Namun, syarikat terbabit dipercayai menipu pelanggan apabila produk yang dijual pada harga ratusan ringgit itu gagal memberi kesan positif seperti yang diinginkan pengguna.
Sumber dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi kementerian itu memberitahu, bimbang orang ramai terus menjadi mangsa penipuan syarikat terbabit, pihaknya sejak Ogos lalu bertindak melancarkan 'Ops Mata' bagi mengesan dan merampas penjualan produk tersebut.
"Kita mengambil tindakan menyerbu rangkaian syarikat yang menjual produk ini di seluruh negara selepas beberapa mangsa membuat aduan mereka berasa tertipu.
"Ramai pengguna tertarik hati untuk membeli produk ini selepas percaya ia boleh memulihkan mata mereka yang bermasalah, namun kesannya langsung tiada selepas digunakan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi terbaru, pihaknya telah menyerbu lima premis menjual produk tersebut yang terletak di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Keramat dekat sini.
Beliau berkata, turut diserbu, sebuah premis terletak di pusat beli-belah terkenal di Shah Alam yang dijadikan lokasi untuk memasarkan produk berkenaan.
Katanya, hasil serbuan serentak itu, pihaknya berjaya merampas lebih 10,000 jenis produk keluaran syarikat tersebut dianggarkan bernilai RM1.4 juta.
Selain Lembah Klang, kata sumber, serbuan turut dilakukan ke atas puluhan premis lain di Kelantan, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.
Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Eisah A. Rahman menasihatkan pengguna supaya tidak mempercayai kaedah rawatan dan keistimewaan produk terbabit seperti diiklankan.
Menurutnya, rangkaian produk itu dianggap tidak lebih sebagai produk kosmetik dan tidak boleh digunakan untuk penjagaan mata.
"Produk kosmetik dalam konteks ini semata-mata untuk digunakan di bahagian muka dan sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika.
"Ia tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis atau sebagai ubat semburan," katanya.
Menurutnya, dakwaan bahawa produk keluaran syarikat tersebut boleh merawat mata adalah tidak berasas kerana tiada bukti saintifik pernah dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya.
Eisah berkata, pihak kementerian turut memandang serius kewujudan beberapa syarikat lain yang mengeluarkan produk kosmetik untuk mata yang juga menggunakan teknik promosi yang mengelirukan pengguna.
"Di sini, saya nasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan mata agar tidak membazirkan wang membeli produk terbabit kerana perbuatan itu bukan sahaja membazirkan wang ringgit tetapi boleh mengundang bahaya kepada kesihatan," ujarnya
Tuesday, October 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment