Friday, October 29, 2010

Hanya 0.5% koperasi bermasalah

29/10/2010 4:18pm


KUALA LUMPUR 29 Okt — Terdapat hanya 40 koperasi atau kurang 0.5 peratus koperasi yang bermasalah dikesan di seluruh negara setakat ini.

Daripada jumlah koperasi bermasalah itu, hanya 11 sahaja terlibat dalam kes-kes yang serius seperti skim cepat kaya dan melakukan penipuan.

"Sasaran kita satu peratus atau kira-kira 80 koperasi bermasalah tetapi sekarang cuma 40 koperasi iaitu kurang 0.5 peratus.

“Angka itu masih belum menular begitu besar dan masih boleh dikawal,” kata Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad dalam temubual bersama Bernama hari ini.

SKM telah pun mengambil tindakan terhadap 11 koperasi bermasalah itu baru-baru ini manakala empat daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Kebiasaannya terdapat dua situasi yang membolehkan sesebuah koperasi itu diambil tindakan iaitu lemah atau salah laku.

Dalam sesetengah kes, SKM akan berusaha menjalinkan jaringan perniagaan dengan membantu menambahkan perniagaan dan kalau perlu salurkan suntikan modal.

Koperasi yang telah diserahkan kembali tetap akan dipantau antara enam bulan ke setahun sebelum diserahkan sepenuhnya.

Mangsor berkata, adalah penting dalam gerakan koperasi untuk memastikan penguasaan ilmu berkoperasi kerana sekiranya hanya berada pada tahap asas, koperasi akan cenderung untuk melanggar akta dan peraturan koperasi, hingga melakukan kesalahan dan diambil tindakan.

Dari segi jumlah koperasi, terdapat 4,771 koperasi pada tahun 2005, dan jumlah berkenaan meningkat kepada 7,215 pada 2009 dan 7,980 setakat Oktober ini.

Dalam tempoh lima tahun (2005-2009), bilangan koperasi telah meningkat pada kadar purata 9.4 peratus setahun, keanggotaan 4.7 peratus, modal syer 8.2 peratus, aset 20.8 peratus dan perolehan 17 peratus setahun.

Pada tahun 2009 modal syer berjumlah RM8.97 bilion dan aset bernilai RM65 bilion, katanya lagi.

Melalui sumber dan kekuatan kewangan ini, koperasi telah dapat menjana perolehan berjumlah RM8.92 bilion bagi tahun 2009. — Bernama

No comments:

Post a Comment