Tuesday, October 26, 2010

Dua pekerja bank ditahan, RM1.45 juta ditemui semula

PULAU PINANG 26 Okt. 2010 - Polis bertindak cekap menyelesaikan kes kehilangan wang RM1.5 juta milik sebuah bank di Lebuh Bishop di sini, pada 19 Oktober lalu, dengan menahan dua kakitangan bank terbabit.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, berikutan penahanan kedua-dua suspek berusia 46 tahun sehari selepas kejadian, polis menemui semula wang tunai yang hilang berjumlah RM1.45 juta.

Katanya, baki wang terbabit berjumlah RM50,000 masih belum ditemui dan sedang disiasat.

Menurutnya, wang tunai RM590,000 itu ditemui di bank tersebut, manakala RM860,000 pula di dalam sebuah beg bola boling di sebuah pusat boling di Sungai Petani, Kedah, Jumaat lalu.

"Kita percaya telah menyelesaikan kes tersebut dan kertas siasatan juga hampir siap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat.

"Kita sedang siasat motif kejadian selain mengesan baki RM50,000 yang masih hilang.

"Salah seorang suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala seorang lagi ditahan reman sehingga esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.

Mengulas kes itu, Ayub memberitahu, pihak bank menyedari kehilangan wang tunai berjumlah RM1.5 juta selepas membuat imbangan akaun untuk minggu berkenaan pada Jumaat lalu.

Katanya, hasil siasatan dalaman menemui RM500,000 di salah sebuah bilik di bangunan bank itu, manakala RM90,000 pula ditemui di tingkat bawah bangunan terbabit.

"Pihak bank kemudian membuat laporan polis dan satu pasukan penyiasat diwujudkan bagi mengesan kehilangan wang berkenaan. Hasilnya dua suspek ditahan dan polis menemui sejumlah wang.

"Kes yang disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan ini kita anggap selesai," ujarnya

No comments:

Post a Comment