Wednesday, March 9, 2011

Warga asing ceroboh Pulau Pisang

Warga asing ceroboh Pulau Pisang
Oleh Azida Shahruddin dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhjb@bharian.com.my
2011/03/10
PONTIAN: Pulau Pisang yang berkeluasan 400 hektar dikesan menjadi tumpuan pencerobohan warga asing untuk menebang pokok karas yang tumbuh meliar di situ, semata-mata mendapatkan gaharu yang dihasilkan tumbuhan itu kerana mempunyai nilai pasaran tinggi sehingga mencecah RM20,000 sekilogram.

Pencerobohan itu disedari penduduk dan nelayan tempatan baru-baru ini dan tinjauan Berita Harian semalam mendapati lebih 10 pokok karas ditebang serta diambil gaharu tumbuhan itu, manakala sisa pokok itu ditinggalkan menyebabkan kerosakan spesies flora dan fauna yang ada di pulau terbabit. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata siasatan mendapati kumpulan lelaki terbabit memasuki kawasan negara ini secara haram. Awal bulan lalu, polis menahan sekumpulan warga asing berusia 29 hingga 47 tahun ketika cuba mencuri hasil pokok terbabit di Pulau Pisang, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Nelayan, Kamal Othman, 39, berkata, tindakan sesetengah pihak menceroboh pulau itu bagi mencuri hasil tumbuhan sesuatu yang merugikan dan perlu dihentikan segera.

“Kesannya akan dilihat dalam tempoh jangka panjang apabila berlaku kepupusan pokok dan hidupan liar.

“Pokok karas yang ditebang itu juga boleh menyebabkan hakisan permukaan tanah ketika hujan. Ini secara tidak langsung memusnahkan seluruh ekosistem pulau ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A Karim berkata, Pulau Pisang tanah milik kerajaan negeri menyebabkan segala khazanah di pulau itu tidak boleh diceroboh.

Mohamed mengakui pulau terbabit belum dibangunkan walaupun sudah menerima kunjungan pelancong tempatan dan asing yang mahu berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Katanya, ketika ini ada penduduk tempatan yang mengusahakan kelong di perairan pulau ini serta menanam pokok buah-buahan di pulau terbabit terutama termasuk mangga dan kuini.

No comments:

Post a Comment