Wednesday, March 23, 2011

Kilang pindah gas subsidi diserbu

Kilang pindah gas subsidi diserbu
KUALA LUMPUR 23 Mac – Satu sindiket memindahkan gas subsidi bagi kegunaan domestik kepada industri secara haram yang terbesar di Selangor, berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan di sebuah kilang di Jalan Sungai Tua, Batu 10, Batu Caves dekat sini, malam tadi.

Sindiket itu dipercayai memindahkan gas asli cecair (LPG) yang disubsidi ke dalam tong untuk diedarkan kepada pengusaha industri di Lembah Klang.

Serbuan pukul 11 malam dijalankan oleh sekumpulan lima pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Gombak diketuai ketuanya, Ramli Nayan, berjaya merampas 2,000 tong kosong dan tong berisi gas subsidi, sebuah treler serta lima lori bernilai RM473,850.

Kegiatan sindiket itu pada mulanya sukar dikesan walaupun kedudukan kilang itu terletak di tepi jalan besar kerana sindiket tersebut menyewa premis yang mempunyai lesen sah secara ‘ali baba’ daripada seorang wanita bumiputera.

Malah, bagi mengelak perbuatan haram itu dikesan, lima lelaki warga asing bekerja di kilang berkenaan sanggup menjalankan kerja-kerja memindahkan LPG bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi pada setiap hari.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, siasatan awal mendapati, kilang terbabit dikesan memindahkan kandungan gas subsidi dari tong 10 kilogram (kg) hingga 14kg kepada tong 50kg secara tidak sah sejak setahun lalu.

Beliau berkata, sindiket sanggup mengambil risiko menjalankan kegiatan haram ini kerana ia memberikan keuntungan besar kepada mereka apabila mampu meraih pendapatan RM2,000 pada setiap malam atau RM120,000 seminggu.

“Daripada 10kg LPG yang dijualkan, sindiket mendapat keuntungan RM20.70 kerana harga bagi 10kg LPG bersubdisi ialah RM19 berbanding RM39.70 harga industri.

“Dalam serbuan ini, kita telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 41 tahun yang menyewa lesennya kepada suspek,” katanya ketika ditemui tempat serbuan di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment