Monday, March 14, 2011

Stor 38,704 arak seludup diserbu

Stor 38,704 arak seludup diserbu
BUKIT MERTAJAM 14 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar satu kegiatan penyeludupan arak selepas menyerbu sebuah stor di kawasan Bukit Tengah, di sini dan merampas 38,704 tin minuman keras bernilai RM360,672 termasuk cukai, Jumaat lalu.

Kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan anggota Pusat Risikan Kastam Zon Utara di sekitar stor berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang menyerbu stor tidak bernombor itu, kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan, premis berkenaan berkunci serta tidak berpenghuni.

“Kita terpaksa memecahkan kunci pagar dan stor untuk memasuki stor itu dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar minuman keras yang belum lulus kastam disimpan di dalamnya.

“Sebanyak 38,704 tin minuman keras jenama Darguner Brauerei Strong Beer ditemui disembunyikan di stor berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya tiada label cukai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, siasatan awal mendapati, stor tersebut disewakan kepada seorang lelaki Cina berusia 50-an yang dipercayai menjalankan perniagaan barangan terpakai, termasuk komputer lama.

Katanya, siasatan juga mendapati, minuman keras tersebut mempunyai campuran alkohol lebih 12 peratus berbanding kadar biasa antara tiga hingga lima peratus.

Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik serta penyewa stor itu untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Seberang Jaya berhubung kes tersebut.

“Kes disiasat menurut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan atau menyembunyikan apa-apa barang kastam atau barang larangan,” katanya.

Katanya, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import di bawah Butiran 18 Peraturan Kastam 1977 kecuali dengan satu lesen yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam

No comments:

Post a Comment