Monday, March 14, 2011

Pembalakan haram dibongkar

Pembalakan haram dibongkar
Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2011/03/15


HASIL hutan di Bukit Enggang, Bandar Sungai Long diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.Dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan jengkaut di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan pada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui

BANDAR SUNGAI LONG: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) berjaya membongkar satu lokasi pembalakan haram yang dipercayai dijalankan sejak awal bulan lalu, dekat sini, kelmarin. Risikan bersepadu yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan JPNS, Mohd Yussainy Md Yusop bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menemui beberapa longgokan kayu balak yang disembunyikan dalam semak kira-kira 500 meter dari lokasi pembalakan dipercayai disorokkan pekerja sindiket terbabit. Selain itu, jengkaut yang digunakan bagi mengangkut naik kayu balak ke atas lori turut disorokkan di lorong semak yang lain, kira-kira satu kilometer dari lokasi pembalakan.

Bagaimanapun, dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan mesin itu di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan kepada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui.

Mohd Yussainy berkata, Bukit Enggang adalah ‘lokasi panas’ yang kaya pelbagai hasil hutan, tetapi dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan secara mudah tanpa menghiraukan tindakan penguatkuasaan.

“Hasil risikan mendapati, mereka menebang kayu balak dan mengumpulnya di satu tempat yang tersorok sebelum membawa keluar menggunakan lori pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.
“Berikutan itu, pemantauan berterusan secara berkala pada waktu malam akan dijalankan kerana kita khuatir kegiatan pembalakan haram serta masalah kecurian pasir yang berlaku di kawasan ini akan turut menjejaskan dua hutan simpan bersebelahan iaitu Hutan Simpan Sungai Lalang dan Hutan Simpan Hulu Langat,” katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, lokasi pembalakan haram itu terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Sungai Long serta jalan masuk menuju ke sana dikawal tonto upahan bermula dari jalan utama bandar itu hingga ke kaki bukit.

Tidak cukup dengan itu, selain tonto upahan yang membocorkan maklumat, dalangnya turut mengadakan beberapa sekatan di sepanjang laluan masuk menuju ke lokasi pembalakan termasuk menggunakan longgokan batu bata, kayu berpaku dan kayu balak.

Difahamkan, setiap kerja mengangkut kayu balak yang dicuri itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM5,000 bagi setiap perjalanan.

Jika disabitkan kesalahan, pengusaha sindiket terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 dan penjara antara satu hingga 20 tahun mengikut Seksyen 40, Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran.

No comments:

Post a Comment