Sunday, March 6, 2011

7 ditahan tangkap ikan di taman laut

7 ditahan tangkap ikan di taman laut
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima lelaki dan dua wanita kerana disyaki menangkap ikan di kawasan taman laut berhampiran Pulau Tenggol, Dungun, semalam.

Kesemua tujuh rakyat tempatan berusia 41 hingga 67 tahun dari Ipoh, Perak itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Penguat Kuasa Maritim negeri, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, empat laras senapang angin dipercayai digunakan untuk menangkap ikan di situ selain sebuah bot turut dirampas.

Beliau memberitahu, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 44 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan taman laut.

"Mereka juga boleh didakwa di bawah MSO Seksyen 479 (1) kerana gagal mempamer nombor lesen pada bot," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti tujuh suspek terbabit di kawasan perairan kira-kira 1.8 kilometer daripada Pulau Tenggol.

Katanya, berikutan itu, sepasukan enam anggota Maritim Malaysia termasuk seorang pegawai diarah ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba kira-kira pukul 1 petang, kita temui sebuah bot gentian kaca yang dinaiki tujuh orang termasuk dua wanita.

"Setelah diperiksa, empat laras senapang angin ditemui di atas bot berkenaan sebelum kesemua suspek ditahan untuk siasatan," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment