Tuesday, March 29, 2011

1,000 premis judi tanpa lesen di KL

1,000 premis judi tanpa lesen di KL
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2011/03/30
Tumpuan utama pelajar sekolah, warga tua

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 premis judi dikesan beroperasi tanpa lesen di ibu negara sejak beberapa tahun lalu dengan kebanyakannya dikunjungi pelajar sekolah dan warga tua. Difahamkan, pusat itu menjadi tumpuan golongan lelaki setiap hujung bulan dipercayai selepas mendapat gaji, manakala bagi pelajar sekolah sekitar tengah hari. Malah, ada maklumat isteri terpaksa mencari suami di pusat judi itu sambil menangis kerana semua wang dihabiskan untuk berjudi, manakala nafkah isteri serta tanggungan sekolah anak diabaikan.

Perkara berkenaan didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, sejak enam bulan lalu, lebih 100 aduan diterima daripada orang ramai termasuk isteri kerana tidak tahan sikap suami yang berjudi tanpa memikirkan kewangan keluarga.

“Beberapa lokasi dikenal pasti mempunyai pusat judi haram termasuk Bukit Bintang, Jinjang, Setapak dan Pekeliling. Bayangkan, di kawasan Damai Kompleks yang kecil itu pun ada lapan pusat judi.
“Malah, ada warga tua yang masuk dengan memakai kopiah dan pelajar yang lengkap berpakaian sekolah sanggup ponteng kelas semata-mata untuk berjudi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Roslan turut meminta pihak berkuasa menjalankan pemantauan berterusan, termasuk mengarahkan semua premis tanpa lesen itu ditutup.

Sementara itu, Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azman Mohd Isa menyerbu lima premis judi tanpa lesen di Damai Kompleks, Jalan Datuk Haji Yusuf di sini, semalam.

Hasil serbuan jam 10 pagi itu polis menahan lima penjaga premis termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun serta merampas 25 komputer dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

Azman berkata, anggotanya menggunakan taktik penyamaran sebagai pelanggan ketika memasuki premis itu sebelum mendapati nilai pertaruhan di premis berkenaan mencecah sehingga RM200,000.

No comments:

Post a Comment