Wednesday, March 9, 2011

Sindiket palsu pas imigresen tumpas

Sindiket palsu pas imigresen tumpas
Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/03/10
Empat warga India dipercayai dalang ditahan

KUALA LUMPUR: Satu sindiket didalangi warga India mengaut keuntungan lumayan hasil kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen imigresen termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing di negara ini dengan berselindung di sebalik khidmat menguruskan penghantaran pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke luar negara. Difahamkan sindiket itu beroperasi sejak 10 tahun lalu dengan menyasar pekerja dari India, Indonesia dan Pakistan, bagi memperbaharui PLKS tanpa perlu melalui prosedur Jabatan Imigresen. Kegiatan itu terbongkar selepas serbuan Unit Tindakan Khas (UTK), Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur ke atas satu premis perniagaan di ibu negara, Jumaat lalu, yang membawa kepada penahanan empat lelaki warga India.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Yusof Khan berkata, hasil siasatan ke atas empat suspek berusia 30-an itu mendapati sindiket turut terbabit dalam pemalsuan laporan perubatan pekerja asing.

“Malah, sindiket ini turut mendaftarkan pelbagai syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang kononnya memerlukan khidmat pekerja asing, namun hakikat sebenar tiada sebarang kerja yang disediakan syarikat terbabit dan ia hanya untuk proses pelanjutan PLKS,” katanya.

Katanya, siasatan awal UTK Imigresen Kuala Lumpur mendapati setiap warga asing perlu membayar di antara RM200 dan RM500 kepada sindiket terbabit bersama-sama pasport mereka bagi setiap proses dokumen palsu yang ingin dibuat.
Sehubungan itu, katanya, UTK merampas lebih 400 pasport negara India, Indonesia dan Pakistan yang ingin mendapatkan dokumen pengesahan PLKS palsu.

“Jabatan Imigresen juga tidak menolak kemungkinan warga tempatan turut membantu sindiket terbabit, ” katanya.

No comments:

Post a Comment