Tuesday, March 29, 2011

Rumah teres jadi stor DVD haram

Rumah teres jadi stor DVD haram
Oleh Norhayati Umor
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30


GUNASELAN (tengah) memeriksa sebahagian DVD cetak rompak pelbagai tajuk yang dirampas dalam serbuan di Lembah Ria, Air Itam, kelmarin.2 lelaki diberkas, lebih 100,000 produk tiruan bernilai RM512,760 dirampas

GEORGETOWN: Lebih 100,000 keping cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan video cakera padat digital (DVD), dipercayai cetak rompak bernilai RM512,760 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat di Lembah Ria, Air Itam, di sini kelmarin. Dalam serbuan oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang kira-kira jam 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 20-an turut diberkas. Mengikut pecahan, produk cetak rompak itu merangkumi 97,904 unit DVD filem, 650 unit DVD lagu dan 3,498 unit CD lagu pelbagai tajuk.

Serbuan dilakukan selepas KPDNKK menerima aduan daripada pemilik hak cipta, Multimedia Entertainment Sdn Bhd, mengenai karya keluaran syarikat itu dicetak rompak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, M Gunaselan, berkata siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan tempat menyimpan produk tiruan sebelum diedarkan kepada penjual di sekitar negeri ini.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kegiatan itu," katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment