Tuesday, March 1, 2011

Pusat judi warga asing diserbu

Pusat judi warga asing diserbu
PULAU PINANG 1 Mac - 'Rahsia' tiga buah premis di Lebuh Chulia di sini yang sering dikunjungi warga asing pada setiap malam terbongkar apabila serbuan polis kelmarin mendapati ia menjalankan kegiatan perjudian haram.

Permainan judi komputer itu mengenakan bayaran antara RM2 hingga RM5 setiap kali kaki judi bermain.

Serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut diketuai Asisten Supritendan Mohd. Sauti Harun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan penjaga premis itu ditahan.

Menurutnya, turut ditahan, empat warga asing yang bekerja di premis itu iaitu seorang lelaki dan wanita warga Indonesia serta dua lelaki Vietnam, kesemuanya berusia lingkungan 20-an.

"Polis turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an yang sedang leka berjudi.

"Sebanyak 53 buah komputer termasuk unit pemprosesan komputer (CPU), papan kekunci dan wang tunai RM1,801 dipercayai wang perjudian juga dirampas," katanya di sini hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) kerana menganjurkan mesin perjudian tanpa lesen hiburan yang sah.

Kesemua warga asing yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

No comments:

Post a Comment