Wednesday, March 16, 2011

Tiga pengarah tidak mengaku terima deposit haram

Tiga pengarah tidak mengaku terima deposit haram
KUALA LUMPUR 16 Mac - Enam bulan lalu, tiga pengarah sebuah syarikat didakwa atas 707 pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram melebihi RM551.4 juta dan hari ini, mereka bertiga dituduh pula atas dakwaan menerima deposit haram.

Chin Wai Leong, 35; Ng Poh Weng, 61; dan Marcus Yee Yuen Seng, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S.M. Komathy Suppiah.

Yuen Seng sebagai wakil syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (Genneva) turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa.

Mengikut pertuduhan, kesemua pengarah Genneva dan syarikat itu didakwa telah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara November 2009 dan Julai 2009 di pejabat mereka di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa dari Bank Negara, Alvin Ong dan Mohd. Riduan Baba manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, K. Selva dan Aizul Rohan Anuar.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Wai Leong didakwa atas 210 pertuduhan kerana terlibat dalam aktiviti haram membabitkan RM212.9 juta antara 10 Jun 2008 dan 6 Disember 2009.

Poh Weng pula didakwa atas 263 pertuduhan melibatkan diri dalam transaksi hasil aktiviti haram berjumlah RM185.1 juta yang dilakukan antara 10 Jun dan 27 Julai 2008.

Yuen Seng pula menghadapi 234 pertuduhan yang serupa bernilai RM153.3 juta antara 20 Julai 2007 dan 20 Julai 2009.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Pada prosiding hari ini, Ong memohon pertuduhan di bawah BAFIA dibicarakan bersama dengan pertuduhan AMLATFA dan jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta setiap seorang.

Selva bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan RM1 juta yang telah dikenakan ke atas kesemua tertuduh sebelum ini diguna pakai dalam kes hari ini.

Bagi permohonan untuk perbicaraan bersama, barisan pembelaan pada mulanya membantah atas alasan ia boleh menyebabkan kekeliruan tetapi kemudian bersetuju dengan cadangan tersebut.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mac ini dan akan didengar oleh Hakim Rozana Ali Yusof yang mendengar kes AMLATFA sebelum ini.

Komathy juga bersetuju supaya jumlah ikat jamin sebelum ini diguna pakai untuk kes di bawah BAFIA.

No comments:

Post a Comment