Monday, March 14, 2011

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah
SUNGAI PETANI 14 Mac – Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah akaun pelanggan bank terbabit bernilai RM74,000 melalui perbankan Internet.

Khor Gek Khim, 28, dilihat bersahaja ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zainol Saad.

Tertuduh didakwa dengan curangnya memindahkan wang sebanyak RM40,000 milik Beh Poey Su secara perbankan Internet ke akaun Ireene Ching Shwe Chyn untuk kegunaannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) cawangan Sungai Petani di Jalan Ibrahim di sini pada 21 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Gek Khim didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM34,000 milik Poey Su dengan cara yang sama ke akaun Ng Moi Heng untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh dari Taman Keladi di sini pada 24 Januari lalu di cawangan bank yang sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussain mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Sharifah Syazwani mencadangkan supaya Gek Khim dibebaskan dengan jaminan RM24,000 beserta seorang penjamin.

Peguam T. Jayaraaj yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada kadar munasabah dengan alasan lelaki itu menyara ibu, bapa, isteri dan seorang anak berusia empat bulan.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung beban hutang yang banyak untuk diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan Gek Khim diikat jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 13 April ini.

Memetik laporan akhbar pada 26 Februari lalu, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Tertuduh yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Februari lalu ditahan di rumahnya pada 23 Februari lepas, setelah pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan sehingga 25 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment