Tuesday, March 22, 2011

Komandan PLKN hadapi empat tuduhan rasuah

Komandan PLKN hadapi empat tuduhan rasuah
KOTA BHARU 22 Mac – Seorang komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM2,000.

Mohamad Nazri Osman, 44, komandan Kem PLKN Etnobotani Gua Musang itu didakwa di tiga buah Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Zainal L. Saleh dituduh menerima suapan RM600 dan RM300 daripada Saifuddin Ibrahim melalui pindahan akaun Maybank cawangan Kota Bharu pada pukul 8.58 malam, 11 Mac 2009.

Ia sebagai dorongan menyenangkan urusan berkaitan membekalkan perkhidmatan bas kepada PLKN di kem tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad dituduh mengulangi perbuatan itu membabitkan suapan RM500 pada pukul 8.51 malam, 1 September 2009.

Pertuduhan seterusnya, dia didakwa di hadapan Hakim Irwan Suaibon iaitu menerima suapan RM600 pada pukul 8.58 malam, 11 Mac 2009 daripada lelaki sama.

Bagi keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin berjumlah RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 20 dan 26 April ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Ahsan Abd. Latif.

No comments:

Post a Comment