Wednesday, March 2, 2011

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun
PULAU PINANG 2 Mac - Seorang pengarah syarikat dihukum penjara tiga tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengambil deposit secara haram daripada orang ramai menerusi skim pelaburan perniagaan ginseng.

Selain itu, syarikat milik pengarah tersebut, Madang Impian Sdn. Bhd. didenda RM200,000.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Khor Cheng Loo, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan pembelaannya hanya berbentuk penafian.

"Keputusan juga dibuat disebabkan kegagalan Cheng Loo menghadiri beberapa perbicaraan, gagal menyerah diri biarpun waran tangkap dikeluarkan, alamat tidak betul, penjamin tidak mengetahui lokasi tertuduh dan kegagalan melaporkan diri di balai polis seperti ditetapkan.

"Akibat beberapa syarat dilanggar dan tidak dipatuhi, mahkamah tidak membenarkan permohonan melanjutkan ikat jamin sementara menunggu rayuan manakala hukuman dilaksanakan serta-merta," tegasnya.

Cheng Loo didakwa menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah untuk syarikat yang menjalankan urus niaga pelaburan ginseng antara Jun 2001 dan Februari 2002 di Northam Tower, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam, Khoo Chye Beng manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Alvin Ong Heng Kiat.

Terdahulu, Alvin membantah permohonan Cheng Loo supaya ikat jamin dilanjutkan kerana tertuduh telah melanggar beberapa syarat jaminan malah ini adalah kes pertama di negeri ini.

"Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," ujarnya.

No comments:

Post a Comment