Thursday, March 31, 2011

Datuk sorok barang seludup di rumah

Datuk sorok barang seludup di rumah
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/04/01
Kastam turut disoal kes gubal wang haram

KUANTAN: Bukan hanya disyaki terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan cubaan mengelak cukai berbilion ringgit, seorang pegawai kastam bergelar Datuk di Pahang dan isterinya yang ditahan reman sejak Isnin lalu, turut disiasat atas kesalahan memiliki pelbagai jenis mercun dan rokok seludup. Ia berikutan penemuan 200 kotak mercun dan 20 kotak mengandungi rokok pelbagai jenama bernilai puluhan ribu ringgit dipercayai diseludup di rumah pasangan itu, di sini kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu susulan penahanan mereka di Temerloh sehari sebelumnya. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai nilai sebenar barang seludup itu, termasuk tujuan pasangan suami isteri terbabit menyimpan rokok dan mercun berkenaan.

Berikutan itu, pasangan terbabit yang berusia lingkungan 50-an yang ditahan pasukan khas diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), turut disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui semalam mengesahkan laporan berhubung rampasan barang seludup itu untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan Isnin lalu, pasukan khas dianggotai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain diketuai SPRM membongkar sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit hasil penahan pasangan suami isteri terbabit.
Pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan yang turut membabitkan sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM di seluruh negara.

Susulan penahan pasangan itu, empat lagi pegawai KDRM ditahan di Johor, Selasa lalu bagi membantu siasatan dan memberi keterangan berhubung kegiatan terbabit.

Berikutan itu, Mahkamah Majistret Kuantan turut mengarahkan pasangan terbabit ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, wang tunai yang ditemui di bilik di rumah pasangan terbabit hanya berjumlah RM65,000, bukan ratusan ribu ringgit seperti dilaporkan media ketika kes berkenaan terbongkar.

No comments:

Post a Comment