Monday, March 7, 2011

Lans Koperal didakwa minta rasuah

Lans Koperal didakwa minta rasuah

Farabi Sheikh Said al Jabri

RASAH 7 Mac – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas tuduhan meminta suapan sebagai balasan menukarkan sampel air kencing pada tahun lalu.

Tertuduh Mazlan Ahmad, 29, yang memakai baju kemeja berwarna coklat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki untuk menukar sampel air kencing seorang lelaki warga asing yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan ketamine.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebelum sampel air kencing itu dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi ujian makmal.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di depan pusat beli-belah Jusco Seremban 2, Seremban, pada pukul 8.15 malam, 9 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Penguasa Kanan Jasmi Buang manakala tertuduh diwakili peguam Maanor Yusoff.

Terdahulu, Jasmi mencadangkan supaya mahkamah membenarkan Mazlan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Maanor merayu agar ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana digantung tugas.

Nursinah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April depan bagi tarikh sebutan semula.

No comments:

Post a Comment