Thursday, March 31, 2011

Datuk sorok barang seludup di rumah

Datuk sorok barang seludup di rumah
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/04/01
Kastam turut disoal kes gubal wang haram

KUANTAN: Bukan hanya disyaki terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan cubaan mengelak cukai berbilion ringgit, seorang pegawai kastam bergelar Datuk di Pahang dan isterinya yang ditahan reman sejak Isnin lalu, turut disiasat atas kesalahan memiliki pelbagai jenis mercun dan rokok seludup. Ia berikutan penemuan 200 kotak mercun dan 20 kotak mengandungi rokok pelbagai jenama bernilai puluhan ribu ringgit dipercayai diseludup di rumah pasangan itu, di sini kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu susulan penahanan mereka di Temerloh sehari sebelumnya. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat lanjut mengenai nilai sebenar barang seludup itu, termasuk tujuan pasangan suami isteri terbabit menyimpan rokok dan mercun berkenaan.

Berikutan itu, pasangan terbabit yang berusia lingkungan 50-an yang ditahan pasukan khas diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), turut disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957 dan Akta Kastam 1967.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui semalam mengesahkan laporan berhubung rampasan barang seludup itu untuk siasatan lanjut.

Dalam serbuan Isnin lalu, pasukan khas dianggotai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain diketuai SPRM membongkar sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit hasil penahan pasangan suami isteri terbabit.
Pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam kegiatan yang turut membabitkan sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis KDRM di seluruh negara.

Susulan penahan pasangan itu, empat lagi pegawai KDRM ditahan di Johor, Selasa lalu bagi membantu siasatan dan memberi keterangan berhubung kegiatan terbabit.

Berikutan itu, Mahkamah Majistret Kuantan turut mengarahkan pasangan terbabit ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, wang tunai yang ditemui di bilik di rumah pasangan terbabit hanya berjumlah RM65,000, bukan ratusan ribu ringgit seperti dilaporkan media ketika kes berkenaan terbongkar.

SPRM teruskan tangkapan

SPRM teruskan tangkapan
KUALA LUMPUR 31 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka membuat beberapa tangkapan lagi selepas satu operasi besar-besaran melibatkan pihak swasta dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dilakukan suruhanjaya tersebut, Isnin lalu.

Susulan daripada penahanan dua pegawai kanan JKDM, lima lagi pegawai JKDM ditahan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001, dalam satu serbuan di Johor.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Tuesday, March 29, 2011

Pengurus dituduh pecah amanah RM379,712

Pengurus dituduh pecah amanah RM379,712Mac 29, 11 1:49pmKongsi 5Pengurus Besar Ikram Megah Sdn Bhd, sebuah syarikat pengimport daging beku, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan wang syarikat berjumlah RM379,712.

Yen Kok Ho, 49, dari Taman Selayang Baru, Batu Caves, didakwa membuat beberapa invois palsu atas nama enam syarikat sebelum memasukkan cek-cek milik Ikram Megah Sdn Bhd bernilai antara RM327 dan RM25,000 ke dalam akaun miliknya antara 29 Januari 2000 dan 2 Oktober 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat berkenaan di Jalan Dua, Selayang Baru, Batu Caves.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 408, yang jika disabitkan kesalahan, membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh disebat dan didenda.

Majistret Muhamad Najib Ismail membenarkan Yen diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Rakan Yen membayar jaminan itu.

Pendakwanan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Hamzah manakala Yen tidak diwakili peguam.

Rumah teres jadi stor DVD haram

Rumah teres jadi stor DVD haram
Oleh Norhayati Umor
bhnews@bharian.com.my
2011/03/30


GUNASELAN (tengah) memeriksa sebahagian DVD cetak rompak pelbagai tajuk yang dirampas dalam serbuan di Lembah Ria, Air Itam, kelmarin.2 lelaki diberkas, lebih 100,000 produk tiruan bernilai RM512,760 dirampas

GEORGETOWN: Lebih 100,000 keping cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan video cakera padat digital (DVD), dipercayai cetak rompak bernilai RM512,760 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah teres setingkat di Lembah Ria, Air Itam, di sini kelmarin. Dalam serbuan oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang kira-kira jam 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 20-an turut diberkas. Mengikut pecahan, produk cetak rompak itu merangkumi 97,904 unit DVD filem, 650 unit DVD lagu dan 3,498 unit CD lagu pelbagai tajuk.

Serbuan dilakukan selepas KPDNKK menerima aduan daripada pemilik hak cipta, Multimedia Entertainment Sdn Bhd, mengenai karya keluaran syarikat itu dicetak rompak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, M Gunaselan, berkata siasatan awal mendapati rumah itu dijadikan tempat menyimpan produk tiruan sebelum diedarkan kepada penjual di sekitar negeri ini.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kegiatan itu," katanya di pejabatnya di sini, semalam.
Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

1,000 premis judi tanpa lesen di KL

1,000 premis judi tanpa lesen di KL
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2011/03/30
Tumpuan utama pelajar sekolah, warga tua

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 premis judi dikesan beroperasi tanpa lesen di ibu negara sejak beberapa tahun lalu dengan kebanyakannya dikunjungi pelajar sekolah dan warga tua. Difahamkan, pusat itu menjadi tumpuan golongan lelaki setiap hujung bulan dipercayai selepas mendapat gaji, manakala bagi pelajar sekolah sekitar tengah hari. Malah, ada maklumat isteri terpaksa mencari suami di pusat judi itu sambil menangis kerana semua wang dihabiskan untuk berjudi, manakala nafkah isteri serta tanggungan sekolah anak diabaikan.

Perkara berkenaan didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman berdasarkan siasatan dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, sejak enam bulan lalu, lebih 100 aduan diterima daripada orang ramai termasuk isteri kerana tidak tahan sikap suami yang berjudi tanpa memikirkan kewangan keluarga.

“Beberapa lokasi dikenal pasti mempunyai pusat judi haram termasuk Bukit Bintang, Jinjang, Setapak dan Pekeliling. Bayangkan, di kawasan Damai Kompleks yang kecil itu pun ada lapan pusat judi.
“Malah, ada warga tua yang masuk dengan memakai kopiah dan pelajar yang lengkap berpakaian sekolah sanggup ponteng kelas semata-mata untuk berjudi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Roslan turut meminta pihak berkuasa menjalankan pemantauan berterusan, termasuk mengarahkan semua premis tanpa lesen itu ditutup.

Sementara itu, Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Azman Mohd Isa menyerbu lima premis judi tanpa lesen di Damai Kompleks, Jalan Datuk Haji Yusuf di sini, semalam.

Hasil serbuan jam 10 pagi itu polis menahan lima penjaga premis termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun serta merampas 25 komputer dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian.

Azman berkata, anggotanya menggunakan taktik penyamaran sebagai pelanggan ketika memasuki premis itu sebelum mendapati nilai pertaruhan di premis berkenaan mencecah sehingga RM200,000.

Dua pegawai kanan kastam ditahan

Dua pegawai kanan kastam ditahan

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Mac – Dua pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi besar-besaran di kawasan pantai timur, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor, semalam.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, ketika serbuan dilakukan secara serentak di kawasan pantai timur, pihaknya menemui wang bernilai ratusan ribu ringgit dalam keadaan berselerakan di rumah pegawai kanan kastam terbabit yang merupakan pasangan suami isteri.

Menurutnya, SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta dibantu lima agensi lain membuat serbuan ke atas 84 ejen penghantaran, sebuah syarikat induk dan 24 anak syarikat berkaitan serta 25 premis JKDM di seluruh negara.

“Selain itu, lebih 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan disita hasil operasi secara serentak melibatkan tujuh agensi bagi mengatasi kegiatan haram membabitkan nilai berbilion ringgit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Operasi pasukan petugas khas diketuai oleh SPRM itu dijalankan secara serentak dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam semalam.

Mustafar berkata, tindakan penyitaan akan dilakukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001.

Beliau berkata, kesemua entiti berkaitan diserbu kerana dipercayai terlibat dalam pengisytiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram, penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai wang mencakupi berbilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah.

“Kesemua kegiatan tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan adalah mengenai kegiatan haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan berjumlah berbilion ringgit disebabkan kegagalan mengutip cukai dan duti kastam.

“Ia juga melibatkan pendapatan yang tidak dilapor yang dihantar ke luar negara tanpa kelulusan, pengisytiharan tidak betul barangan import serta penyeludupan wang keluar sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, pasukan tindakan khas itu akan mengambil tindakan serius yang sewajarnya terhadap individu dan syarikat terlibat kerana kegiatan-kegiatan berkaitan boleh menyebabkan bahaya kepada ekonomi, keselamatan dan reputasi negara.

Wednesday, March 23, 2011

Kilang pindah gas subsidi diserbu

Kilang pindah gas subsidi diserbu
KUALA LUMPUR 23 Mac – Satu sindiket memindahkan gas subsidi bagi kegunaan domestik kepada industri secara haram yang terbesar di Selangor, berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan di sebuah kilang di Jalan Sungai Tua, Batu 10, Batu Caves dekat sini, malam tadi.

Sindiket itu dipercayai memindahkan gas asli cecair (LPG) yang disubsidi ke dalam tong untuk diedarkan kepada pengusaha industri di Lembah Klang.

Serbuan pukul 11 malam dijalankan oleh sekumpulan lima pegawai penguat kuasa dari Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Gombak diketuai ketuanya, Ramli Nayan, berjaya merampas 2,000 tong kosong dan tong berisi gas subsidi, sebuah treler serta lima lori bernilai RM473,850.

Kegiatan sindiket itu pada mulanya sukar dikesan walaupun kedudukan kilang itu terletak di tepi jalan besar kerana sindiket tersebut menyewa premis yang mempunyai lesen sah secara ‘ali baba’ daripada seorang wanita bumiputera.

Malah, bagi mengelak perbuatan haram itu dikesan, lima lelaki warga asing bekerja di kilang berkenaan sanggup menjalankan kerja-kerja memindahkan LPG bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi pada setiap hari.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa PPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, siasatan awal mendapati, kilang terbabit dikesan memindahkan kandungan gas subsidi dari tong 10 kilogram (kg) hingga 14kg kepada tong 50kg secara tidak sah sejak setahun lalu.

Beliau berkata, sindiket sanggup mengambil risiko menjalankan kegiatan haram ini kerana ia memberikan keuntungan besar kepada mereka apabila mampu meraih pendapatan RM2,000 pada setiap malam atau RM120,000 seminggu.

“Daripada 10kg LPG yang dijualkan, sindiket mendapat keuntungan RM20.70 kerana harga bagi 10kg LPG bersubdisi ialah RM19 berbanding RM39.70 harga industri.

“Dalam serbuan ini, kita telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengambil keterangan daripada seorang wanita berusia 41 tahun yang menyewa lesennya kepada suspek,” katanya ketika ditemui tempat serbuan di sini, hari ini.

Tuesday, March 22, 2011

Komandan PLKN hadapi empat tuduhan rasuah

Komandan PLKN hadapi empat tuduhan rasuah
KOTA BHARU 22 Mac – Seorang komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berpangkat Mejar mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM2,000.

Mohamad Nazri Osman, 44, komandan Kem PLKN Etnobotani Gua Musang itu didakwa di tiga buah Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Zainal L. Saleh dituduh menerima suapan RM600 dan RM300 daripada Saifuddin Ibrahim melalui pindahan akaun Maybank cawangan Kota Bharu pada pukul 8.58 malam, 11 Mac 2009.

Ia sebagai dorongan menyenangkan urusan berkaitan membekalkan perkhidmatan bas kepada PLKN di kem tersebut.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad dituduh mengulangi perbuatan itu membabitkan suapan RM500 pada pukul 8.51 malam, 1 September 2009.

Pertuduhan seterusnya, dia didakwa di hadapan Hakim Irwan Suaibon iaitu menerima suapan RM600 pada pukul 8.58 malam, 11 Mac 2009 daripada lelaki sama.

Bagi keempat-empat pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin berjumlah RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 20 dan 26 April ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Ahsan Abd. Latif.

Monday, March 21, 2011

Datuk palsu: SPRM tahan dua lelaki

Datuk palsu: SPRM tahan dua lelaki
KUALA LUMPUR 21 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu dari Persatuan Kerabat Diraja Duli Yang Maha Mulia Long Yunus yang dipercayai terlibat mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran ‘Datuk’ kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu.

Kedua-dua lelaki yang ditahan pada Disember tahun lalu itu telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

Bagaimanapun, difahamkan, kedua-dua lelaki itu dipercayai masih melakukan aktiviti haram itu dengan menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut pada minggu lalu.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan penahanan dua lelaki terbabit. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V dukacita dengan tindakan NGO itu yang diketuai seorang lelaki yang mendakwa berketurunan Long Yunus kerana mengurniakan darjah kebesaran sejak tahun lalu.

Kekecewaan baginda itu diumumkan oleh Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed yang mengesahkan pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap NGO terbabit sejak tahun lalu kerana tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, menurut satu surat dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang diedarkan pihak Istana Kelantan pada sidang akhbar semalam, NGO yang ditubuhkan pada tahun 2009 itu telah dibatalkan pendaftarannya.

Pembatalan tersebut berkuatkuasa pada 10 Januari lalu setelah ia didapati melanggar syarat pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Sunday, March 20, 2011

Sultan Kelantan murka

Sultan Kelantan murka

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my



Sukri Mohamed menunjukkan sijil pendaftaran sebuah pertubuhan sewaktu membuat sidang akhbar di Istana Bali Besar, Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 20 Mac - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V amat dukacita dengan tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diketuai seorang lelaki yang mendakwa berketurunan Long Yunus kerana mengurniakan darjah kebesaran termasuk gelaran 'Datuk kepada lebih 150 orang sejak tahun lalu.

Kekecewaan baginda itu diumumkan oleh Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Sukri berkata, pihaknya telah membuat tiga laporan polis terhadap NGO terbabit sejak tahun lalu kerana tindakan tersebut menyalahi undang-undang.

Katanya, ada di antara penerima terbabit sanggup membayar ratusan ribu ringgit kepada NGO tersebut bagi mendapatkan gelaran 'Datuk' kurniaan darjah kebesaran.

"Untuk mendapatkan gelaran "datuk" ada penerima yang sanggup membayar RM150,000. Terbaru pertubuhan itu telah mengadakan majlis penganugerahan di sebuah hotel di sini pada minggu lalu.

"Mengikut Perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, Sultan Kelantan adalah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam negeri ini dan baginda sahaja yang boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan.

"Berikutan itu mana-mana pihak selain Sultan Kelantan tidak boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran dan tidak boleh mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan," katanya.

Tambahnya, semua pihak terutama rakyat dari luar Kelantan harus menyedari tiada sesiapa dari negeri selain daripada Sultan Muhammad Ke-V yang layak mengurniakan darjah kebesaran bagi mengelakkan terus ditipu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, pihaknya telah mengambil keterangan daripada mereka yang terlibat di dalam majlis penganugerah darjah oleh pertubuhan berkenaan.

"Ia masih dalam siasatan namun tiada sebarang tangkapan dibuat dan kita sedang merekod kenyataan daripada mereka yang terlibat," katanya.

Wednesday, March 16, 2011

Tiga pengarah tidak mengaku terima deposit haram

Tiga pengarah tidak mengaku terima deposit haram
KUALA LUMPUR 16 Mac - Enam bulan lalu, tiga pengarah sebuah syarikat didakwa atas 707 pertuduhan membabitkan transaksi pengubahan wang haram melebihi RM551.4 juta dan hari ini, mereka bertiga dituduh pula atas dakwaan menerima deposit haram.

Chin Wai Leong, 35; Ng Poh Weng, 61; dan Marcus Yee Yuen Seng, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, S.M. Komathy Suppiah.

Yuen Seng sebagai wakil syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Sdn. Bhd. (Genneva) turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan serupa.

Mengikut pertuduhan, kesemua pengarah Genneva dan syarikat itu didakwa telah menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara November 2009 dan Julai 2009 di pejabat mereka di 52A-1, Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua pegawai pendakwa dari Bank Negara, Alvin Ong dan Mohd. Riduan Baba manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, K. Selva dan Aizul Rohan Anuar.

Pada 14 Oktober tahun lalu, Wai Leong didakwa atas 210 pertuduhan kerana terlibat dalam aktiviti haram membabitkan RM212.9 juta antara 10 Jun 2008 dan 6 Disember 2009.

Poh Weng pula didakwa atas 263 pertuduhan melibatkan diri dalam transaksi hasil aktiviti haram berjumlah RM185.1 juta yang dilakukan antara 10 Jun dan 27 Julai 2008.

Yuen Seng pula menghadapi 234 pertuduhan yang serupa bernilai RM153.3 juta antara 20 Julai 2007 dan 20 Julai 2009.

Kesemua pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Pada prosiding hari ini, Ong memohon pertuduhan di bawah BAFIA dibicarakan bersama dengan pertuduhan AMLATFA dan jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta setiap seorang.

Selva bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan RM1 juta yang telah dikenakan ke atas kesemua tertuduh sebelum ini diguna pakai dalam kes hari ini.

Bagi permohonan untuk perbicaraan bersama, barisan pembelaan pada mulanya membantah atas alasan ia boleh menyebabkan kekeliruan tetapi kemudian bersetuju dengan cadangan tersebut.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Mac ini dan akan didengar oleh Hakim Rozana Ali Yusof yang mendengar kes AMLATFA sebelum ini.

Komathy juga bersetuju supaya jumlah ikat jamin sebelum ini diguna pakai untuk kes di bawah BAFIA.

Monday, March 14, 2011

LHDN nafi e-mel bayaran balik cukai

LHDN nafi e-mel bayaran balik cukai


2011/03/15
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menafikan ia mengeluarkan emel kepada pembayar cukai yang menyatakan mereka layak diberikan bayaran balik sebanyak RM700.

LHDN dalam satu kenyataan semalam berkata, emel itu adalah palsu dan aktiviti mencuri maklumat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menipu pembayar cukai. Orang ramai yang menerima e-mel (HASIL ) yang meminta mereka klik kepada http://62.23.69.2/hasil.gov.my/index.php.htm dan mengarahkan pembayar cukai memberikan butiran diri dan nombor bank mereka, supaya tidak membukanya. “Orang ramai yang menerima emel itu dinasihatkan supaya tidak membukanya selain menghapuskan, " katanya.

Menurut LHDN, aktiviti itu dikesan bermula semalam dan laman itu sudah dipintas dan ditutup. Ia percubaan ketiga untuk menipu pembayar cukai.

Setiap data dan maklumat pembayar cukai dijamin selamat dalam simpanan LHDN dan sebarang pertanyaan dan kemusykilan berkaitan perkara itu,

Orang ramai boleh merujuk kepada Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di talian 1-300-88-3010 atau melalui emel callcentre@hasil.gov.my. – BERNAMA

Pembalakan haram dibongkar

Pembalakan haram dibongkar
Oleh Sarah Sulaiman
sarahsulaiman@bharian.com.my
2011/03/15


HASIL hutan di Bukit Enggang, Bandar Sungai Long diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.Dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan jengkaut di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan pada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui

BANDAR SUNGAI LONG: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) berjaya membongkar satu lokasi pembalakan haram yang dipercayai dijalankan sejak awal bulan lalu, dekat sini, kelmarin. Risikan bersepadu yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penguatkuasaan JPNS, Mohd Yussainy Md Yusop bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menemui beberapa longgokan kayu balak yang disembunyikan dalam semak kira-kira 500 meter dari lokasi pembalakan dipercayai disorokkan pekerja sindiket terbabit. Selain itu, jengkaut yang digunakan bagi mengangkut naik kayu balak ke atas lori turut disorokkan di lorong semak yang lain, kira-kira satu kilometer dari lokasi pembalakan.

Bagaimanapun, dalang kegiatan terbabit bertindak licik dengan meletakkan mesin itu di atas tanah hak milik hingga menyebabkan kekangan kepada pihak penguatkuasaan untuk merampasnya ketika ia ditemui.

Mohd Yussainy berkata, Bukit Enggang adalah ‘lokasi panas’ yang kaya pelbagai hasil hutan, tetapi dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaut keuntungan secara mudah tanpa menghiraukan tindakan penguatkuasaan.

“Hasil risikan mendapati, mereka menebang kayu balak dan mengumpulnya di satu tempat yang tersorok sebelum membawa keluar menggunakan lori pada waktu tengah malam bagi mengelak dikesan pihak penguat kuasa.
“Berikutan itu, pemantauan berterusan secara berkala pada waktu malam akan dijalankan kerana kita khuatir kegiatan pembalakan haram serta masalah kecurian pasir yang berlaku di kawasan ini akan turut menjejaskan dua hutan simpan bersebelahan iaitu Hutan Simpan Sungai Lalang dan Hutan Simpan Hulu Langat,” katanya.

Tinjauan Sentral mendapati, lokasi pembalakan haram itu terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Sungai Long serta jalan masuk menuju ke sana dikawal tonto upahan bermula dari jalan utama bandar itu hingga ke kaki bukit.

Tidak cukup dengan itu, selain tonto upahan yang membocorkan maklumat, dalangnya turut mengadakan beberapa sekatan di sepanjang laluan masuk menuju ke lokasi pembalakan termasuk menggunakan longgokan batu bata, kayu berpaku dan kayu balak.

Difahamkan, setiap kerja mengangkut kayu balak yang dicuri itu mampu mengaut keuntungan kira-kira RM5,000 bagi setiap perjalanan.

Jika disabitkan kesalahan, pengusaha sindiket terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM500,000 dan penjara antara satu hingga 20 tahun mengikut Seksyen 40, Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran.

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah
SUNGAI PETANI 14 Mac – Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah akaun pelanggan bank terbabit bernilai RM74,000 melalui perbankan Internet.

Khor Gek Khim, 28, dilihat bersahaja ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zainol Saad.

Tertuduh didakwa dengan curangnya memindahkan wang sebanyak RM40,000 milik Beh Poey Su secara perbankan Internet ke akaun Ireene Ching Shwe Chyn untuk kegunaannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) cawangan Sungai Petani di Jalan Ibrahim di sini pada 21 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Gek Khim didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM34,000 milik Poey Su dengan cara yang sama ke akaun Ng Moi Heng untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh dari Taman Keladi di sini pada 24 Januari lalu di cawangan bank yang sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussain mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Sharifah Syazwani mencadangkan supaya Gek Khim dibebaskan dengan jaminan RM24,000 beserta seorang penjamin.

Peguam T. Jayaraaj yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada kadar munasabah dengan alasan lelaki itu menyara ibu, bapa, isteri dan seorang anak berusia empat bulan.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung beban hutang yang banyak untuk diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan Gek Khim diikat jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 13 April ini.

Memetik laporan akhbar pada 26 Februari lalu, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Tertuduh yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Februari lalu ditahan di rumahnya pada 23 Februari lepas, setelah pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan sehingga 25 Februari lalu.

Stor 38,704 arak seludup diserbu

Stor 38,704 arak seludup diserbu
BUKIT MERTAJAM 14 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar satu kegiatan penyeludupan arak selepas menyerbu sebuah stor di kawasan Bukit Tengah, di sini dan merampas 38,704 tin minuman keras bernilai RM360,672 termasuk cukai, Jumaat lalu.

Kegiatan itu terbongkar hasil risikan selama dua minggu oleh sepasukan anggota Pusat Risikan Kastam Zon Utara di sekitar stor berkenaan yang dipercayai sudah beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Zulkifli Yahya berkata, hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang menyerbu stor tidak bernombor itu, kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan, premis berkenaan berkunci serta tidak berpenghuni.

“Kita terpaksa memecahkan kunci pagar dan stor untuk memasuki stor itu dan hasil pemeriksaan menemui sejumlah besar minuman keras yang belum lulus kastam disimpan di dalamnya.

“Sebanyak 38,704 tin minuman keras jenama Darguner Brauerei Strong Beer ditemui disembunyikan di stor berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya tiada label cukai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Zulkifli memberitahu, siasatan awal mendapati, stor tersebut disewakan kepada seorang lelaki Cina berusia 50-an yang dipercayai menjalankan perniagaan barangan terpakai, termasuk komputer lama.

Katanya, siasatan juga mendapati, minuman keras tersebut mempunyai campuran alkohol lebih 12 peratus berbanding kadar biasa antara tiga hingga lima peratus.

Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik serta penyewa stor itu untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan satu laporan sudah dibuat di Balai Polis Seberang Jaya berhubung kes tersebut.

“Kes disiasat menurut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan atau menyembunyikan apa-apa barang kastam atau barang larangan,” katanya.

Katanya, pengimportan minuman keras memerlukan lesen import di bawah Butiran 18 Peraturan Kastam 1977 kecuali dengan satu lesen yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam

Wednesday, March 9, 2011

Warga asing ceroboh Pulau Pisang

Warga asing ceroboh Pulau Pisang
Oleh Azida Shahruddin dan Mohd Iskandar Ibrahim
bhjb@bharian.com.my
2011/03/10
PONTIAN: Pulau Pisang yang berkeluasan 400 hektar dikesan menjadi tumpuan pencerobohan warga asing untuk menebang pokok karas yang tumbuh meliar di situ, semata-mata mendapatkan gaharu yang dihasilkan tumbuhan itu kerana mempunyai nilai pasaran tinggi sehingga mencecah RM20,000 sekilogram.

Pencerobohan itu disedari penduduk dan nelayan tempatan baru-baru ini dan tinjauan Berita Harian semalam mendapati lebih 10 pokok karas ditebang serta diambil gaharu tumbuhan itu, manakala sisa pokok itu ditinggalkan menyebabkan kerosakan spesies flora dan fauna yang ada di pulau terbabit. Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, berkata siasatan mendapati kumpulan lelaki terbabit memasuki kawasan negara ini secara haram. Awal bulan lalu, polis menahan sekumpulan warga asing berusia 29 hingga 47 tahun ketika cuba mencuri hasil pokok terbabit di Pulau Pisang, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Nelayan, Kamal Othman, 39, berkata, tindakan sesetengah pihak menceroboh pulau itu bagi mencuri hasil tumbuhan sesuatu yang merugikan dan perlu dihentikan segera.

“Kesannya akan dilihat dalam tempoh jangka panjang apabila berlaku kepupusan pokok dan hidupan liar.

“Pokok karas yang ditebang itu juga boleh menyebabkan hakisan permukaan tanah ketika hujan. Ini secara tidak langsung memusnahkan seluruh ekosistem pulau ini," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A Karim berkata, Pulau Pisang tanah milik kerajaan negeri menyebabkan segala khazanah di pulau itu tidak boleh diceroboh.

Mohamed mengakui pulau terbabit belum dibangunkan walaupun sudah menerima kunjungan pelancong tempatan dan asing yang mahu berehat sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Katanya, ketika ini ada penduduk tempatan yang mengusahakan kelong di perairan pulau ini serta menanam pokok buah-buahan di pulau terbabit terutama termasuk mangga dan kuini.

Sindiket palsu pas imigresen tumpas

Sindiket palsu pas imigresen tumpas
Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/03/10
Empat warga India dipercayai dalang ditahan

KUALA LUMPUR: Satu sindiket didalangi warga India mengaut keuntungan lumayan hasil kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen imigresen termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing di negara ini dengan berselindung di sebalik khidmat menguruskan penghantaran pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke luar negara. Difahamkan sindiket itu beroperasi sejak 10 tahun lalu dengan menyasar pekerja dari India, Indonesia dan Pakistan, bagi memperbaharui PLKS tanpa perlu melalui prosedur Jabatan Imigresen. Kegiatan itu terbongkar selepas serbuan Unit Tindakan Khas (UTK), Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur ke atas satu premis perniagaan di ibu negara, Jumaat lalu, yang membawa kepada penahanan empat lelaki warga India.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Yusof Khan berkata, hasil siasatan ke atas empat suspek berusia 30-an itu mendapati sindiket turut terbabit dalam pemalsuan laporan perubatan pekerja asing.

“Malah, sindiket ini turut mendaftarkan pelbagai syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang kononnya memerlukan khidmat pekerja asing, namun hakikat sebenar tiada sebarang kerja yang disediakan syarikat terbabit dan ia hanya untuk proses pelanjutan PLKS,” katanya.

Katanya, siasatan awal UTK Imigresen Kuala Lumpur mendapati setiap warga asing perlu membayar di antara RM200 dan RM500 kepada sindiket terbabit bersama-sama pasport mereka bagi setiap proses dokumen palsu yang ingin dibuat.
Sehubungan itu, katanya, UTK merampas lebih 400 pasport negara India, Indonesia dan Pakistan yang ingin mendapatkan dokumen pengesahan PLKS palsu.

“Jabatan Imigresen juga tidak menolak kemungkinan warga tempatan turut membantu sindiket terbabit, ” katanya.

Pengakuan bersalah bekas pengetua sekolah ditolak

Pengakuan bersalah bekas pengetua sekolah ditolak
PULAU PINANG 9 Mac – Pengakuan bersalah bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar II, Bayan Lepas yang didakwa atas lima pertuduhan melakukan pecah amanah RM15,550 ditolak oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mendakwa tidak mengambil walaupun satu sen wang tersebut.

Sebaliknya, menurut tertuduh, Dr. P. Iskandar Abdullah, 55, wang yang dimasukkan dalam akuannya itu akan dikeluarkan serta-merta untuk pembayaran biasiswa pelajar, kos pembaikan sekolah dan urusan lain.

Berikutan itu, Hakim Zanol Rashid Hussin hari ini menetapkan 23 Mac ini bagi sebutan semula kes untuk tertuduh berkenaan melantik peguam.

Iskandar yang kini bertugas sebagai Pegawai Nazir Kementerian Pelajaran di Putrajaya memberitahu perkara tersebut ketika membuat rayuan bagi meringankan hukumannya setelah mengaku melakukan kesalahan itu ketika kes disebut pada prosiding sebelah pagi.

‘‘Saya mengaku salah, tetapi wang itu satu sen pun saya tidak ambil. Sebagai pengetua pertama di sekolah tersebut yang pada masa itu belum mendapat sijil kelayakan menduduki bangunan (OC), sudah menjadi amalan biasa wang itu dimasukkan dalam akaun saya sebagai ketua jabatan di sekolah itu.

‘‘Namun, saya akan mengeluarkan wang itu serta-merta untuk pembayaran biasiswa pelajar dan kegunaan lain seperti membaiki bangunan sekolah yang bocor dan tandas yang tersumbat. Demi Allah, saya tidak ambil apa-apa. Ia cuma kesilapan teknikal,’’ kata Iskandar.

Berikutan itu, Zanol Rashid menolak pengakuan bersalah tertuduh dan mengarahkan supaya kes itu dibicarakan.

‘‘Wang dimasukkan dalam akaun dan kemudiannya dikeluarkan untuk perbelanjaan sekolah. Jadi, mana ada kesalahan pecah amanah. Lagipun kita tidak boleh terima pengakuan bersalah secara bersyarat,’’ jelas Zanol Rashid.

Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Janariah Abdul Mutalib pula menjelaskan bahawa sebarang cek mesti melalui akuan sekolah dan bukannya akaun persendirian.

Menurut beliau, hasil temuduga yang dibuat oleh pihaknya terhadap beberapa saksi di sekolah itu juga menunjukkan tertuduh tidak pernah memberi sebarang wang kepada mereka.

Mengikut pertuduhan, Iskandar atas kapasitinya sebagai pengetua sekolah tersebut ketika itu didakwa telah melakukan pecah amanah lima keping cek Maybank International Airport bernilai RM7,750; RM1,800; RM3,200; RM1,800 dan RM1,000 yang merupakan peruntukan bagi kegunaan hal ehwal kewangan sekolah tersebut.

Dia didakwa telah mendepositkan kesemua cek tersebut ke dalam akaun simpanan miliknya di antara 26 Februari dan 19 Disember 2007, di sekolah tersebut, di Jalan Kampung Masjid, Bayan Lepas di sini.

Monday, March 7, 2011

Lans Koperal didakwa minta rasuah

Lans Koperal didakwa minta rasuah

Farabi Sheikh Said al Jabri

RASAH 7 Mac – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas tuduhan meminta suapan sebagai balasan menukarkan sampel air kencing pada tahun lalu.

Tertuduh Mazlan Ahmad, 29, yang memakai baju kemeja berwarna coklat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki untuk menukar sampel air kencing seorang lelaki warga asing yang didapati positif dadah jenis amphetamine dan ketamine.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebelum sampel air kencing itu dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi ujian makmal.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di depan pusat beli-belah Jusco Seremban 2, Seremban, pada pukul 8.15 malam, 9 Ogos tahun lalu.

Tertuduh yang bertugas di Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Penguasa Kanan Jasmi Buang manakala tertuduh diwakili peguam Maanor Yusoff.

Terdahulu, Jasmi mencadangkan supaya mahkamah membenarkan Mazlan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Maanor merayu agar ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai pendapatan kerana digantung tugas.

Nursinah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 April depan bagi tarikh sebutan semula.

Sunday, March 6, 2011

7 ditahan tangkap ikan di taman laut

7 ditahan tangkap ikan di taman laut
KUALA TERENGGANU 6 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan lima lelaki dan dua wanita kerana disyaki menangkap ikan di kawasan taman laut berhampiran Pulau Tenggol, Dungun, semalam.

Kesemua tujuh rakyat tempatan berusia 41 hingga 67 tahun dari Ipoh, Perak itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Penguat Kuasa Maritim negeri, Kapten Maritim Adam Aziz berkata, empat laras senapang angin dipercayai digunakan untuk menangkap ikan di situ selain sebuah bot turut dirampas.

Beliau memberitahu, kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 44 Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan taman laut.

"Mereka juga boleh didakwa di bawah MSO Seksyen 479 (1) kerana gagal mempamer nombor lesen pada bot," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti tujuh suspek terbabit di kawasan perairan kira-kira 1.8 kilometer daripada Pulau Tenggol.

Katanya, berikutan itu, sepasukan enam anggota Maritim Malaysia termasuk seorang pegawai diarah ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba kira-kira pukul 1 petang, kita temui sebuah bot gentian kaca yang dinaiki tujuh orang termasuk dua wanita.

"Setelah diperiksa, empat laras senapang angin ditemui di atas bot berkenaan sebelum kesemua suspek ditahan untuk siasatan," ujar beliau.

Wednesday, March 2, 2011

Timbalan KSU hadapi tuduhan rasuah

Timbalan KSU hadapi tuduhan rasuahMac 3, 11 1:10pmKongsi 0Timbalan ketua setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Bakaruddin Othman, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi ini atas tuduhan rasuah sewaktu menjadi yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Dia dituduh menggunakan jawatannya sebagai yang dipertua MPS untuk meluluskan pembiayaan daripada MPS sebanyak RM26,500 untuk kerja selengaraan rumah miliknya sendiri, di dalam mesyuarat jawatankuasa sebutharga MPS Bilangan 7/2001, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan secara langsung ke atas jabatan tersebut.

Bakaruddin, 57 (tengah), dituduh berbuat demikian untuk selengaraan rumah beralamat di No. 14413, Jalan Laksamana 9, Kampung Laksamana, 68100 Batu Caves, Selangor.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di antara bulan Jun 2001 dan April 2002, di Bangunan MPS, Pesiaran 3, Bandar Baru Selayang, Gombak, demikian menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, mengaku tidak bersalah. Hakim Asmadi Husin membenarkan ikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Datuk Abdul Razak Muda dari SPRM. Mahkamah menetapikan sebutan kes pada 4 April.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun
PULAU PINANG 2 Mac - Seorang pengarah syarikat dihukum penjara tiga tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengambil deposit secara haram daripada orang ramai menerusi skim pelaburan perniagaan ginseng.

Selain itu, syarikat milik pengarah tersebut, Madang Impian Sdn. Bhd. didenda RM200,000.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Khor Cheng Loo, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan pembelaannya hanya berbentuk penafian.

"Keputusan juga dibuat disebabkan kegagalan Cheng Loo menghadiri beberapa perbicaraan, gagal menyerah diri biarpun waran tangkap dikeluarkan, alamat tidak betul, penjamin tidak mengetahui lokasi tertuduh dan kegagalan melaporkan diri di balai polis seperti ditetapkan.

"Akibat beberapa syarat dilanggar dan tidak dipatuhi, mahkamah tidak membenarkan permohonan melanjutkan ikat jamin sementara menunggu rayuan manakala hukuman dilaksanakan serta-merta," tegasnya.

Cheng Loo didakwa menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah untuk syarikat yang menjalankan urus niaga pelaburan ginseng antara Jun 2001 dan Februari 2002 di Northam Tower, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.

Tertuduh diwakili peguam, Khoo Chye Beng manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Alvin Ong Heng Kiat.

Terdahulu, Alvin membantah permohonan Cheng Loo supaya ikat jamin dilanjutkan kerana tertuduh telah melanggar beberapa syarat jaminan malah ini adalah kes pertama di negeri ini.

"Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," ujarnya.

Hati-hati dengan perbankan Internet - Polis

Hati-hati dengan perbankan Internet - Polis
KUALA LUMPUR 2 Mac - Polis mengingatkan para pengguna perkhidmatan perbankan Internet agar tidak mudah terpedaya dengan e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon yang meminta mereka mendedahkan maklumat perbankan.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kes penipuan melibatkan perbankan Internet meningkat dengan amat ketara.

"Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati kebanyakan mangsa terdiri daripada pengguna Maybank2U yang terpedaya dengan modus operandi digunakan melalui penghantaran e-mel kepada pengguna.

"E-mel yang berbentuk 'Security Alert' itu kemudian mengarahkan mangsa mengemas kini akaun perbankan Internet mereka dengan memasukkan kata nama, kata laluan dan nombor TAC.

"Ia kononnya bagi tujuan keselamatan bank dan mengelakkan akaun mereka dibatalkan," katanya.

Katanya, mangsa bagaimanapun hanya mengetahui mereka ditipu setelah menerima SMS dari pihak bank yang memaklumkan wang mereka telah dipindahkan ke akaun ketiga.

"Untuk makluman pengguna, pihak bank tidak menggunakan perkhidmatan e-mel untuk tujuan kemas kini akaun perbankan Internet.

"Sehubungan itu, sekiranya pengguna menerima e-mel sedemikian, sila abaikannya," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan perbankan Internet boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Pusat Kawalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-26163999.

Tuesday, March 1, 2011

Bekas pengarah didakwa guna dokumen palsu

Bekas pengarah didakwa guna dokumen palsu
KUALA LUMPUR 1 Mac 2011 - Bekas pengarah urusan sebuah syarikat pengiklanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 31 pertuduhan menggunakan satu dokumen palsu bagi memindahkan sejumlah RM1.9 juta ke akaunnya.

Nurhan Manaf, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Lelaki itu didakwa menggunakan satu dokumen, Permohonan Untuk Kiriman Wang bagi memindahkan wang berjumlah antara RM7,000 hingga RM242,000 dari akaun Syarikat DD Mediaconsult Sdn. Bhd. walhal tertuduh mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dataran Maybank di Jalan Maarof di sini, antara 22 Januari dan 13 Mei tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pusat judi warga asing diserbu

Pusat judi warga asing diserbu
PULAU PINANG 1 Mac - 'Rahsia' tiga buah premis di Lebuh Chulia di sini yang sering dikunjungi warga asing pada setiap malam terbongkar apabila serbuan polis kelmarin mendapati ia menjalankan kegiatan perjudian haram.

Permainan judi komputer itu mengenakan bayaran antara RM2 hingga RM5 setiap kali kaki judi bermain.

Serbuan tersebut dilakukan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut diketuai Asisten Supritendan Mohd. Sauti Harun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan penjaga premis itu ditahan.

Menurutnya, turut ditahan, empat warga asing yang bekerja di premis itu iaitu seorang lelaki dan wanita warga Indonesia serta dua lelaki Vietnam, kesemuanya berusia lingkungan 20-an.

"Polis turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an yang sedang leka berjudi.

"Sebanyak 53 buah komputer termasuk unit pemprosesan komputer (CPU), papan kekunci dan wang tunai RM1,801 dipercayai wang perjudian juga dirampas," katanya di sini hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4b(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) kerana menganjurkan mesin perjudian tanpa lesen hiburan yang sah.

Kesemua warga asing yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Cubaan seludup 200 ekor tupai gagal

Cubaan seludup 200 ekor tupai gagal


SALAH seekor tupai jenis 'Sugar Glider' yang dirampas oleh Maritim Malaysia Wilayah Selatan di Kota Tinggi, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 1 Mac - Cubaan dua warga Indonesia menyeludup masuk 200 ekor tupai bernilai RM64,200 ke negara ini gagal selepas mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan kira-kira empat batu nautika dari timur perairan Tanjung Penyusup, Pengerang hari ini.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, bot Petir 50 bersama lima pegawai dan anggota sedang melakukan rondaan di kawasan perairan tersebut sebelum terserempak dengan bot penumpang yang dinaiki oleh kedua-dua lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Menyedari kehadiran pasukan keselamatan berkenaan, bot tersebut kemudian cuba melarikan diri ke arah perairan Indonesia, namun akhirnya berjaya dipintas dan ditahan oleh bot laju Maritim Malaysia.

Zulkifli berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemui 200 ekor tupai jenis 'Sugar Glider' yang dikurung dalam sembilan sangkar yang dibalut dengan guni.

"Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kesemua tupai tersebut dibawa dari Batam, Indonesia untuk diseludup masuk ke negara ini melalui perairan Pengerang.

"Haiwan itu mungkin untuk dijual kepada seseorang sebelum dieksport semula ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata, dua warga Indonesia yang berusia 44 dan 36 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan manakala haiwan yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan selanjutnya.

Tupai jenis 'Sugar Glider' berasal dari kepulauan Papua New Guinea dan Australia itu mendapat sambutan menggalakkan dari negara-negara di Asia untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana dipercayai membawa tuah.

Nilai seekor tupai tersebut juga dikatakan boleh mencecah RM200 hingga RM350 kerana memiliki bentuk rupa yang cantik, katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan Kawalan Import dan Eksport di bawah Akta Haiwan 1953 (Pindaan 2006).

Pembantu Am Pejabat Tanah KT dituduh rasuah

Pembantu Am Pejabat Tanah KT dituduh rasuah


2011/03/01
KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu am rendah di Pejabat Tanah di sini, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM1,300, empat tahun lalu.

Hussin Che Mohamad, 52, didakwa menerima suapan itu daripada Mohd Shahril Saleh sebagai dorongan untuk menukar nama hak milik tanah milik Omar Ismail yang telah meninggal dunia kepada nama bapa saudara Mohd Shahril, Mohamad Awang. Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 12.40 tengah hari 14 Januari 2007. Hussein didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 30 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hisham Hashim. -BERNAMA