Sunday, May 15, 2011

Tiga sindiket seludup kereta tumpas

Tiga sindiket seludup kereta tumpas
Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


Mohd. Bakri Zinin (lima dari kiri) melihat kereta curi yang cuba diseludup ke luar negara di Shah Alam, semalam.
________________________________________

SHAH ALAM 11 Mei - Polis menumpaskan tiga sindiket yang dipercayai terlibat dengan jenayah mencuri, menyeludup dan meleraikan komponen kenderaan melibatkan 261 kes dengan nilai keseluruhan sebanyak RM30 juta dalam tiga operasi berasingan sepanjang April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, dua daripada sindiket itu melibatkan jenayah penyeludupan kereta mewah, masing-masing di Pelabuhan Klang dan sempadan utara negara ini.
Beliau berkata, berdasarkan penahanan 17 suspek di sekitar Lembah Klang, April lalu, pihaknya mendapati dua sindiket itu masing-masing menyeludup keluar kira-kira 213 buah dan 45 buah kereta curi melalui pintu masuk negara ini dengan nilai mencecah RM17 juta.
"Sindiket pertama beroperasi sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mereka membuat penghantaran dipercayai ke Dubai melalui Pelabuhan Klang menggunakan nombor dan sijil pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak Kastam.
"Sindiket yang ditumpaskan di sempadan utara negara pula dikenali sebagai Kumpulan AAA yang menyeludup kereta mewah curi ke negara jiran.
"Kita turut berjaya merampas dua kenderaan iaitu sebuah BMW X5 dan sebuah Toyota Estima untuk dipasarkan ke negara jiran," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Mohd. Bakri berkata, antara kereta mewah yang menjadi sasaran dua sindiket itu adalah Toyota Alphard, Toyota Fortuner, Toyota Estima, Toyota Hilux, Toyota Camry, BMW dan Mercedes-Benz.
Selain itu, katanya, satu lagi sindiket berjaya dilumpuhkan melibatkan kegiatan membekalkan komponen kenderaan curi dalam Ops Ambang Merdeka, bulan lalu.
Beliau berkata, dalam operasi itu, polis menahan enam suspek lelaki yang merupakan anggota sindiket terbabit, selain merampas 1,603 komponen kenderaan pelbagai jenis dipercayai untuk dibekalkan kepada bengkel-bengkel kenderaan tempatan melalui pasaran gelap.
Katanya, pihaknya turut merampas enam buah kereta dan sebuah lori yang nilai kesemuanya dianggarkan berjumlah RM5 juta.

No comments:

Post a Comment