Monday, May 9, 2011

Peguam sakit: Kes Dr. Hamimah tangguh 21 Jun

Peguam sakit: Kes Dr. Hamimah tangguh 21 Jun
KUALA LUMPUR 9 Mei - Keputusan kes individu pertama yang didakwa di bawah Akta Pengubahan Wang Haram 2001, Dr. Hamimah Idruss (gambar) terpaksa ditangguhkan ke 21 Jun ini, ekoran peguam bela tertuduh masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Perak.
Hakim Asmadi Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno yang turut menyebut bagi pihak peguam, S. Pushpam memaklumkan mengenai perkara itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Peguam terbabit dimasukkan ke Pusat Perubatan Kinta, Perak sejak 18 April lalu selepas mengalami kekurangan air dalam badan yang melampau dan kepenatan serta beberapa komplikasi lain sehingga terpaksa menjalani pembedahan.
Hamimah, bekas pengarah syarikat Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., (Safire) hadir di mahkamah tanpa ditemani sesiapa.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) akta tersebut, wanita terbabit didakwa atas lapan pertuduhan menerima hasil aktiviti haram berjumlah RM41.33 juta antara 3 hingga 10 Jun 2003.
Jika sabit kesalahan, Hamimah boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun.
Wanita itu turut didakwa atas 10 tuduhan bersubahat dengan pekerjanya, Yusaini Wan Abi Sabian, 41, memalsukan surat perjanjian Safire Pharmaceuticals (M) Sdn. Bhd., yang setiap satunya bernilai AS$1.2 juta (RM4.56 juta).
Bagi pertuduhan itu, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 468 kanun sama.
Kes itu mula dibicarakan pada 12 Julai 2005 dan seramai 54 saksi telah dipanggil memberi keterangan termasuk dua saksi dari Jerman dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Drs. Suleiman Mohamed.

No comments:

Post a Comment