Wednesday, May 18, 2011

Dua didakwa menipu projek kerajaan

Dua didakwa menipu projek kerajaan
KOTA KINABALU 18 Mei - Seorang lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk' dan seorang warga asing berusia 58 tahun masing-masing dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pegawai Jabatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Supritendan Mohd. Razif Alang Mat Jaya berkata, lelaki tempatan yang dikenali sebagai Abdul Aziz Jainal, 44, dan Wilson Ablikan Hiponia dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menipu dalam mengendalikan projek kerajaan.
Katanya, kedua-duanya dituduh bertindak menipu dua warga asing untuk melabur dalam dua projek yang diperoleh mereka bagi membina jalan dua hala di Lahad Datu dan menyiapkan projek rumah kos rendah di Papar, dekat sini.
Menurutnya, mangsa pertama mendakwa membuat pelaburan sebanyak RM450,000 untuk projek di Lahad Datu, manakala seorang lagi mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1 juta untuk projek di Papar.
"Mangsa membuat laporan polis pada 10 Mei lalu dan pada keesokan harinya menerusi maklumat orang ramai, pihak polis berjaya menahan suspek. Hari ini suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, tetapi mengaku tidak bersalah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Razif berkata, Abdul Aziz yang menghadapi tiga kes diikat jamin RM12,000, manakala Wilson RM18,000 oleh dua orang penjamin warga tempatan dan pasport miliknya ditahan.
Katanya, bagi projek di Lahad Datu, Abdul Aziz dan Wilson didakwa menggunakan surat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sementara di Papar, mereka menggunakan surat daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).
Tambahnya, salah seorang lagi rakan suspek yang dijadikan boneka dipercayai telah mengaku sebagai Pengerusi SPNB dalam usaha meyakinkan mangsa.
"Kedua-dua projek kerajaan ini sebenarnya memang wujud, tetapi bukan diperoleh oleh mereka. Syarikat lain yang sebenarnya diberi tugas untuk melaksanakan dua projek tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment