Monday, May 9, 2011

Lapan suspek perdaya cinta Internet ditahan

Lapan suspek perdaya cinta Internet ditahan
KOTA KINABALU 9 Mei - Kelicikan lapan suspek termasuk empat wanita tempatan memperdaya seorang mangsa dari negeri ini melalui cinta Internet sehingga kerugian kira-kira RM1.1 juta awal tahun ini, terbongkar dengan penahanan kesemuanya di ibu negara, Jumaat lalu.
Empat suspek lelaki yang ditahan ialah warga Nigeria dan Bangladesh berusia antara 20 hingga 29 tahun manakala wanita terbabit berusia dari 27 hingga 44 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, siasatan berhubung kes itu dimulakan ekoran aduan mangsa wanita berusia 48 tahun.
"Sejurus menerima laporan, polis menjalankan siasatan dengan bantuan unit forensik dan agensi kerajaan lain untuk mengesan dalang penipuan terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hock Sing berkata, modus operandi digunakan adalah dengan mencari kenalan di Internet sehingga membuatkan mangsa wanita jatuh cinta dan kemudian menawarkan hadiah kepadanya.
"Bagaimanapun, apabila hadiah itu hendak dihantar, timbul banyak masalah termasuklah kononnya hadiah ditahan pihak Kastam. Oleh itu memerlukan sejumlah wang untuk membawa keluar hadiah tersebut.
"Suspek cuba memujuk mangsa memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun dengan alasan hadiah terbabit hanya boleh dilepaskan oleh Kastam selepas sejumlah wang dibayar," ujarnya.
Tambah Hock Sing, disebabkan terlalu mabuk cinta dan terpedaya dengan kata-kata manis, mangsa memasukkan wang ke dalam akaun suspek.
Katanya, mangsa hanya tersedar ditipu dan membuat laporan polis selepas beberapa kali memasukkan wang ke dalam akaun tersebut sehingga mencecah jutaan ringgit.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes berkenaan adalah yang kelima berjaya diselesaikan oleh polis Sabah.
Katanya, sebelum ini terdapat tiga lagi kes serupa telah berjaya diselesaikan selepas suspek yang dikehendaki berjaya ditangkap iaitu di Penampang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Tawau.

No comments:

Post a Comment