Thursday, May 26, 2011

Rokok seludup RM2j dirampas

Rokok seludup RM2j dirampas
oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 26 Mei - Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 361 kotak rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2 juta termasuk cukai selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sutera Kuning di sini awal pagi ini.
Kesemua lelaki yang diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu terdiri daripada lima rakyat Myanmar dan dua warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, serbuan di rumah dua tingkat yang dijadikan gudang simpanan rokok seludup sejak sembilan tahun lalu itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Taman Perling dan Pasukan Gerakan Marin Wilayah Dua.
"Ketika serbuan, kesemua suspek sedang berehat di dalam rumah itu. Difahamkan, pelbagai rokok jenama 'Minna', 'Luffmann' dan 'Ela & Marble' yang keseluruhan berjumlah 3.5 juta batang itu dipercayai sedang menunggu masa sesuai untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, dalam serbuan tersebut juga, pihaknya turut merampas 12 botol minuman keras.
Ujarnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan lanjut manakala lima lelaki Myanmar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Dua lelaki tempatan berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 56 akta sama kerana melindungi warga asing. Malah pihak kami juga sedang mengesan dalang di sebalik sindiket tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment