Sunday, May 15, 2011

78 kereta mewah dirampas dalam serbuan

78 kereta mewah dirampas dalam serbuan
KUALA LUMPUR 11 Mei - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi sebuah pasukan tugas khas telah merampas 78 kereta import milik beberapa syarikat di seluruh negara.
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, rampasan itu dilakukan hasil serbuan ke atas 32 firma audit dan 59 kediaman pengarah syarikat-syarikat terlibat.
Menurut kenyataan itu, kesemua kereta yang dirampas dipercayai terlibat dengan beberapa kesalahan yang mengakibatkan negara kehilangan jumlah pendapatan yang sangat besar.
"Antara kesalahan tersebut ialah gagal di bawah perisytiharan tugas-tugas kastam, elak cukai, salah guna pemberian Permit Import (AP), pemalsuan dokumen dan aktiviti penggubahan wang haram serta rasuah,'' jelas kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu memberitahu, objektif utama penyerbuan adalah untuk mengenal pasti dan bagi mendapatkan jumlah pendapatan negara yang masih belum diisytiharkan kepada pihak kastam dan LHDN.
Jelas kenyataan tersebut, pasukan tugas khas berkenaan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu dan syarikat yang terbabit berikutan kes-kes tersebut boleh mengancam ekonomi negara serta seterusnya menjejaskan reputasi negara.
Tambah Jabatan Peguam, operasi membanteras penyeludupan itu dikendalikan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Kastam 1969, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Anti Penggubahan Wang Haram dan Anti Pengganas Kewangan 2001 (AMLATFA).
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini pasukan tugas khas berkenaan telah membekukan lebih 300 akaun bank yang berkaitan dengan semua entiti di bawah AMLATFA.

No comments:

Post a Comment