Sunday, May 15, 2011

Lubuk ikan diceroboh

Lubuk ikan diceroboh
Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2011/05/12
6 bot laut dalam, 57 awak-awak warga asing ditahan

KUANTAN: Jabatan Perikanan menahan enam bot laut dalam bersama 57 awak-awak warga asing selepas dikesan melakukan tiga kesalahan, termasuk menangkap ikan di kawasan larangan dalam operasi bersepadu di perairan Endau-Rompin dan muara Sungai Kuantan.
Penolong Pengarah Perikanan Operasi Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Rosli Wan Yahya, berkata semua awak-awak terbabit berusia antara 18 dan 55 tahun kini ditahan di jeti Jabatan Perikanan, Padang Lalang dekat sini.
"Dalam operasi yang bermula Selasa lalu, pasukan penguat kuasa kita melakukan pemeriksaan ke atas 12 bot laut dalam tetapi hanya enam yang ditahan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati semua awak-awak terbabit mempunyai pasport dan dipercayai bekerja untuk pemilik bot tempatan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya siasatan sedang dijalankan bagi memastikan majikan tempatan mempunyai permit untuk menggunakan khidmat warga asing, pemeriksaan sama ada lesen masih hidup dan kegagalan menggunakan alat sistem pemantauan bot (VMS).

Katanya, pemasangan alat VMS diwajibkan kerana ia dapat memantau pergerakan bot laut dalam di perairan negara.
"Bot laut dalam hanya dibenarkan melakukan aktiviti penangkapan di luar kawasan 40 batu nautika dari pantai atau mana-mana pulau yang diwartakan," katanya.

Wan Rosli berkata, siasatan awal juga mendapati semua enam bot terbabit adalah milik penduduk tempatan.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 46A dan Seksyen 8B Akta Perikanan 1985 jika ia berkaitan dengan pelanggaran syarat lesen.

Operasi bersepadu itu membabitkan lapan anggota daripada Bahagian Perlindungan Sumber JPM Putrajaya, Pangkalan Sumber Kuantan dan Pangkalan Sumber Kampung Acheh, Pekan.

No comments:

Post a Comment