Sunday, May 15, 2011

Mahkamah benarkan tuntutan ganti rugi terhadap KADA

Mahkamah benarkan tuntutan ganti rugi terhadap KADA
KOTA BHARU 11 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan tuntutan saman dua individu terhadap Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang didakwa menceroboh tanah mereka seluas 0.24 hektar di Kok Lanas, Ketereh lima tahun lalu.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas mendapati KADA yang diwakili peguam Noraini Ismail gagal membawa beberapa saksi penting untuk menafikan tuntutan yang dikemukakan oleh Azhar Mohd. Rais, 48, dan Mohd. Effendi Daud, 41.
Beliau yang membenarkan tuntutan itu dengan kos turut memerintahkan ganti rugi ditaksirkan kemudian oleh Timbalan Pendaftar.
Azhar dan Mohd. Effendi selaku pihak plaintif memfailkan saman itu pada 2007 dengan mendakwa KADA telah menceroboh tanah mereka termasuk membina pagar pada penghujung 2006 untuk membangunkan sebuah kompleks perniagaan dikenali sebagai Dataran Warisan KADA.
Mereka yang diwakili peguam Mohd. Allaudin Mat Nor antara lain menuntut ganti rugi am dan tanah tersebut dikembalikan kepada keadaan asal dengan keseluruhan tuntutan bernilai RM13.8 juta atau dengan tafsiran mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Zaidi bagaimanapun menolak tuntutan kedua supaya tanah itu dikembalikan kepada keadaan asal kerana menganggap ia tidak praktikal.
"Saya dapati defendan mendakwa tanah itu dibangunkan secara bersama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Kerajaan Malaysia, bagaimanapun defendan gagal membawa wakil daripada kedua-dua pihak untuk hadir di mahkamah, maka tuntutan pertama plaintif dibenarkan.
"Bagi saya tuntutan kedua tidak praktikal kerana secara munasabah tanah itu sudah dibangunkan dan tidak perlu dikembalikan kepada keadaan asal iaitu tanah kosong dan bersemak," jelas beliau.
Dataran Warisan KADA merupakan kompleks perniagaan yang dibangunkan KADA bermula 2007 dan menempatkan beberapa ruang perniagaan serta satu kawasan pasar malam.
Perasmian pembinaan kompleks itu telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

No comments:

Post a Comment