Pegawai TLDM tak mengaku kemuka invois palsu
IPOH 18 Mei - Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan mengemukakan invois palsu bernilai RM235,707.73 bagi pembelian rangsum segar atau pek makanan tentera, lima tahun lalu.
Leftenan Komander Ahmad Shukry Othman , 39, ketika bertugas sebagai Pegawai Perbekalan di kapal KD Mahawangsa TLDM didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu satu invois Landmark Trading Pte. Ltd. bernilai US$46,813 (RM173,208.10) bertarikh 3 Jun 2006 untuk tuntutan pembelian rangsum segar.
Tertuduh yang telah berkhidmat selama 15 tahun dalam TLDM didakwa melakukan perbuatan tersebut di atas kapal KD Mahawangsa TLDM sekitar Jun 2006.
Ahmad Shukry turut didakwa menggunakan satu lagi invois palsu daripada syarikat yang sama bernilai US$16,864.74 (RM62,399.53) bertarikh 26 Ogos 2006 bagi tujuan sama di atas kapal KD Mahawangsa TLDM sekitar Ogos 2006.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Shahrullah Khan Nawab Khan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Norhasham Hasan.
Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 16 Jun ini sebagai sebutan semula kes tersebut.
Terdahulu, Shahrullah Khan menawarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan tetapi peguam bela tertuduh merayu jumlah tersebut dikurangkan kepada RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Menurut Norhasham, anak guamnya menanggung empat orang anak dengan tiga daripadanya masih bersekolah dan tertuduh telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.
''Anak guam saya juga masih bertugas dan TLDM akan menentukan dia mengikuti setiap prosedur SPRM,'' katanya.
Wednesday, May 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment