Wednesday, May 18, 2011

Kakitangan APMM mengaku pecah amanah

Kakitangan APMM mengaku pecah amanah


2011/05/19
ALOR SETAR: Seorang kakitangan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah mengaku salah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas 42 tuduhan melakukan pecah amanah menggunakan kad Petronas Smartpay milik APMM bagi membeli petrol dan diesel untuk kepentingan sendiri berjumlah lebih RM87,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Laskar Kanan Maritim Azman Md Noh, 42, mengaku salah terhadap semua pertuduhan selepas dibaca jurubahasa di depan Hakim Mohd Rosli Osman.
Azman dari Taman Jeragan, Kuala Kedah, dekat sini didakwa melakukan kesalahan itu dari 3 Januari 2009 hingga 23 September 2009 di stesen minyak Petronas Jalan Batas Paip, Kuala Kedah. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam setiap pertuduhan itu, jumlah bayaran untuk pengisian bahan bakar ialah antara RM300 dan RM3,830.

Sepanjang tempoh itu, tertuduh mengisi petrol dan diesel menggunakan lima kad minyak berkenaan untuk empat kenderaan milik APMM Kedah iaitu Mitsubishi Pajero, Proton Wira, Proton Iswara dan van Kia Pregio.

Tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Pengangkutan Kenderaan Rasmi APMM di Kuala Kedah, dipercayai mengisi minyak purata lima kali sehari menggunakan kad itu untuk kegunaan sendiri.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Iznina Hanim Hashim dan A Hafiz Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan 12 Jun depan untuk menjatuhkan hukuman berikutan pihak pendakwaan memerlukan masa menyediakan dokumen dan barang kes.

Pihak pendakwaan memohon jaminan RM200,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin. Tertuduh yang gagal membayar jaminan ditahan reman di Penjara Alor Setar sehingga tarikh jatuh hukum pada 12 Jun depan.

No comments:

Post a Comment