Thursday, May 19, 2011

Kastam patah cubaan seludup rokok RM500,000

Kastam patah cubaan seludup rokok RM500,000
SITIAWAN 19 Mei - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok dan kretek pelbagai jenama bernilai lebih setengah juta ringgit dalam dua serbuan, di sini semalam.
Timbalan Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) negeri, Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam serbuan di sebuah bot pancung di jeti pendaratan ikan Sungai Tiang, Selangor kira-kira pukul 4 pagi itu, 70 guni mengandungi 672,000 batang rokok kretek pelbagai jenama dirampas.
Menurutnya, ketika ditahan, dua individu dipercayai tekong dan awak-awak bot yang diubah suai itu melarikan diri dengan meredah lumpur sebelum masuk ke hutan bakau berhampiran.
"Hasil serbuan yang dijalankan selepas beberapa hari pemantauan itu, kita menemui rokok kretek bernilai RM94,080 dalam bot fiber tersebut.
"Duti rokok-rokok yang belum lulus kastam dari negara jiran itu dianggarkan RM266,179.20," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan (Marin) JKDM Kampung Acheh, di sini hari ini.
Abdul Latif memberitahu, kejayaan rampasan kretek di jeti itu adalah yang terbesar dicatatkan Kastam Perak sepanjang tahun ini.
Dalam pada itu, katanya, serbuan yang dijalankan ke atas sebuah van di tepi Jalan Sabak Bernam-Hutan Melintang di sini 12 Mei lalu, turut berjaya menemui 26 guni mengandungi 249,600 batang rokok seludup jenama Gudang Garam Surya 12's.
Selain itu, rampasan pukul 3.30 pagi itu juga melibatkan 24,000 batang Nusantara Hijau dan 36,000 batang Nusantara 12's yang melibatkan cukai RM122,632.56.

No comments:

Post a Comment