Wednesday, May 4, 2011

Adik bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya dijel

Adik bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya dijel
SHAH ALAM 4 Mei - Seorang bekas pengarah syarikat landskap dihukum penjara 15 hari dan denda RM315,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas enam tuduhan menerima rasuah berjumlah RM63,000 daripada sebuah syarikat landskap, lima tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah turut memerintahkan Azizi Johan Ariffin, 54, dipenjara 30 bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Azizi merupakan adik kepada bekas Pengarah di Perbadanan Putrajaya, Datuk Shahoran yang sebelum ini terlepas daripada tuduhan bersetuju terima suapan berupa tiket pergi balik ke London daripada seorang kontraktor, lima tahun lalu.
Hakim bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Azizi digantung sementara menunggu rayuan dengan syarat ikat jamin lelaki itu yang berjumlah RM10,000 sebelum ini ditambah kepada RM20,000 beserta seorang penjamin.
Azizi didakwa menerima suapan tersebut sebagai upah membantu mendapatkan kelulusan tender 'Kerja-Kerja Penyelenggaraan Landskap di Persiaran Putrajaya, Persiaran Utara, Persiaran Barat, Lebuh Sentosa (Jambatan Seri Saujana) Lebuh Wawasan (Jambatan Seri Wawasan), Wilayah Persekutuan Putrajaya' untuk Perbadanan Putrajaya kepada syarikat Timeless Construction Sdn. Bhd.
Walhal syarikat Sekitar Indah Sdn. Bhd. menjadi subkontraktor kepada Timeless Construction Sdn. Bhd.
Azizi didakwa menerima suapan tersebut dalam bentuk wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Affin Bank Bhd. miliknya daripada Pengarah Sekitar Indah, Mohd. Kamil Sapuan menerusi enam transaksi berbeza antara 26 Januari 2006 dan 9 November 2006 di Affin Bank Bhd. di Desa Jaya Kepong, dekat sini.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Ridzuan Johan Ariffin yang mewakili Azizi, memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara kerana tertuduh yang juga adiknya menghidap penyakit tulang belakang dan paru-paru yang serius.
Ridzuan juga memohon denda yang rendah memandangkan Azizi kini bekerja sebagai jurujual di pasar moden Seksyen 6 di sini dengan pendapatan bulanan antara RM300 dan RM500 selain mendapat wang pencen RM200 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Josiendra Abu Senin memohon hukuman setimpal dikenakan kerana ia melibatkan kepentingan awam.

No comments:

Post a Comment